Dewasa ini dunia terlalu canggih, pantas dan maju. Dengan adanya teknologi canggih seperti telefon pintar dan kewujudan internet hampir untuk semua, maklumat dan berita semuanya memang benar-benar di hujung jari. Sepantas kilat, kita dihubungkan dengan pelbagai berita.
Namun malang sekali, masyarakat kita hari ini lebih gemar menggunakan teknologi canggih ini untuk menyebarkan berita atau cerita palsu, tanpa menyemak kebenaran di sebalik cerita itu. Ingatlah, menyebarkan berita palsu bukan sahaja menyalahi undang-undang, ia juga mengundang kemurkaan Allah SWT.
Sebenarnya dalam Islam, perkara ini telah pun lama dikhabarkan akan berlaku oleh Nabi junjungan kita Muhammad SAW.
Daripada Abu Hurairah r.a. Beliau berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Pada waktu itu si pendusta dikatakan benar, dan orang yang benar dikatakan dusta.”
Wallahualam.
Cuba kita renungkan sejenak, dan fikirkan semula kebenaran di sebalik petikan hadis ini.
Hari ini, ramai daripada kita begitu mudah mempercayai pelbagai cerita yang ada di luar sana, lebih-lebih lagi yang sering kita terima dari mesej berangkai seperti Whatsapp, pautan blog, laman media sosial dan sebagainya.
Lebih parah lagi, tidak kurang juga dalam kalangan kita yang dengan gembira menyebarkan berita-berita palsu ini kepada ahli keluarga dan sahabat handai, memanjangkan rangkaian dosa sesama kita. Penderitaan orang lain hanya sekadar lawak jenaka buat kita.
Kebiasaannya, bila ini terjadi, golongan yang paling terkesan akibat daripada perkara ini adalah golongan yang berpengaruh dan dikenali ramai, seperti ahli politik, artis atau pun selebriti.
Sememangnya telah menjadi lumrah, mereka yang diberikan rezeki oleh Allah SWT untuk sama ada menjadi kaya, mewah, berjaya atau terkenal, maka kehidupan mereka akan menjadi tumpuan ramai.
Ini bukanlah bermakna ianya memberi lesen kepada kita sebagai rakyat biasa untuk menggembar-gemburkan perihal kisah kehidupan mereka, lebih-lebih lagi apabila kita sendiri tidak tahu pucuk pangkal kebenaran cerita tersebut.
Seringkali kita baca ada juga fitnah berleluasa mengenai individu-individu ini misalnya, mengaitkan mereka dengan kelakuan sumbang, dengan gambar atau video lucah, yang sebenarnya setelah dikaji merupakan rakaman palsu atau disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab yang ada agenda mereka sendiri.
Namun meskipun kebenaran telah terbukti, kita sudah pun bersalah dan berdosa menyebarkan berita palsu. Nasi sudah menjadi bubur, kerosakan telah pun berlaku. Personaliti mangsa tercalit hingga ada yang membawa kepada kehancuran kerjaya, keretakan keluarga dan penghinaan masyarakat. Dan ini biasanya kekal hingga ke penghujung nyawa mangsa.
Sama juga perihalnya apabila keluar cerita atau berita sensasi mengenai selebriti, begitu pantas pena-pena tajam dan lidah-lidah bercabang menjadi agen kerosakan dengan menularkannya. Gambar yang mengaibkan, petikan video berunsur lucah atau pun paparan mesej-mesej ringkas yang membawa aib kepada mangsa dikongsikan tanpa usul-periksa.
Kenapa jadi begitu? Adakah keseronokan menyebarkan cerita dan bergosip mengenai ahli politik atau selebriti itu mengaburi akal dan fikiran kita untuk dengan sewenang-wenangnya melakukan dosa?
Lupakah kita bahawa Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al Baqarah Ayat 191; “….dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.”
Wallahualam.
Kita peliharalah amalan kita, dan berhati-hatilah tentang cara kita bersosial di alam maya. Gunakanlah akal fikiran anugerah Allah SWT dengan sebaik-baiknya. Semoga kita semua diberi perlindungan oleh Allah SWT daripada dahsyatnya fitnah sebegini rupa, Insya-Allah.
Kenapa jadi begitu? Adakah keseronokan menyebarkan cerita dan bergosip mengenai ahli politik atau selebriti itu mengaburi akal dan fikiran kita untuk dengan sewenang-wenangnya melakukan dosa?
Lupakah kita bahawa Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al Baqarah Ayat 191; “….dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.”
Wallahualam.
Kita peliharalah amalan kita, dan berhati-hatilah tentang cara kita bersosial di alam maya. Gunakanlah akal fikiran anugerah Allah SWT dengan sebaik-baiknya. Semoga kita semua diberi perlindungan oleh Allah SWT daripada dahsyatnya fitnah sebegini rupa, Insya-Allah.
0 comments:
Post a Comment