Bila isu keganasan rumahtangga mendapat publisiti meluas, lebih-lebih lagi bila satu pihak mempamerkan gambar-gambar kecederaan di laman media sosial, pastinya masyarakat akan terus membuat kesimpulan dan menghukum pihak yang satu lagi. Biasanya, kesimpulan dan penghukuman ini dibuat tanpa mendengar penjelasan pihak yang satu lagi.
Emilia Hanafi, satu nama yang sebelum ini kurang dikenali, kini melonjak naik popularitinya apabila beliau mengepos beberapa keping foto yang menunjukkan kecederaan pada dirinya, kononnya akibat dipukul teruk oleh suami beliau (kini bekas suami) iaitu SM Faisal Nasimuddin.
Keadilan harus ditegakkan. Pihak yang salah harus menerima akibat daripada perbuatannya itu.
Namun, dalam kontroversi ini, saya berpendapat pihak yang bersalah adalah Emilia Hanafi sendiri.
Kes ini menjadi sebutan ramai sejak ia mula dibicarakan pada 2015 hanya kerana pihak yang terlibat adalah seorang tokoh perniagaan muda. SM Faisal boleh dianggap sebagai seorang ‘public figure’ yang dihormati dan disegani, hingga mungkin boleh dianggap sebagai selebriti dalam arena perniagaan. Maka tidak hairanlah kes ini menjadi buah mulut orang ramai.
Saya menulis ini kerana tiada siapa yang mempertahankan SM Faisal dari serangan bekas isterinya dan juga netizens. Walaupun SM Faisal telah menafikan segala tuduhan yang dilontarkan melalui akaun Instagramnya, kecaman demi kecaman masih lagi dilontarkan kepada beliau. Dan mereka yang mengecam beliau bukannya orang yang betul-betul mengenali beliau dan keluarga secara dekat.
Dengan kata lain, mereka sekadar berspekulasi, dan mereka ‘termakan’ hasutan dan permainan simpati bekas isteri beliau.
Untuk pengetahuan semua, ‘kes pukul’ tersebut telah pun dibicarakan di Mahkamah dan mahkamah telah membebaskan SM Faisal dari segala pertuduhan. Mahkamah memutuskan bahawa SM Faisal hanya mempertahankan dirinya dari serangan Emilia Hanafi.
Pihak Pendakwa yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut telah memfailkan rayuan pada 30 Ogos 2017.
SM Faisal melalui peguamnya pula memfailkan notis permohonan pembatalan rayuan tersebut 27 Oktober 2017.
Setelah mengambil kira semua fakta kes, pada 29 Januari 2018 Mahkamah telah memutuskan bahawa Mahkamah berpuas hati untuk membenarkan permohonan pemohon untuk membatalkan pertuduhan pemohon di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Dalam bahasa mudah, permohonan rayuan yang difailkan oleh pendakwa bagi pihak Emilia Hanafi telah ditolak oleh mahkamah. Mahkamah memutuskan bahawa SM Faisal tidak mencederakan bekas isterinya dengan sengaja, dan Mahkamah bersetuju bahawa beliau hanya mempertahankan diri dari serangan bertubi-tubi bekas isteri.
Kekalahan Emilia Hanafi dalam kes ini adalah punca kenapa beliau terus menerus menyerang SM Faisal di laman sosial. Selain itu, ramai berpendapat bahawa kes perceraian mereka yang masih belum selesai turut menjadi faktor kenapa kedua pihak saling berbalahan.
Perbalahan pasangan ini yang kerap dipapar dalam media hanyalah kerana satu motif - tuntutan berjumlah RM250 juta yang dibuat oleh Emilia Hanafi.
Bekas isteri kepada SM Faisal ini telah melakukan pelbagai perkara, termasuk engkar kepada perintah mahkamah dan melanggar undang-undang, demi mencapai cita-citanya itu. Beliau masih menghalang anak-anak mereka untuk bertemu dengan ayah dan ahli keluarga yang lain.
Emilia Hanafi kerap menampilkan diri beliau sebagai seorang mangsa di laman sosial, namun faktanya ramai yang rapat dengan keluarga Naza bersepakat bahawa beliau seorang yang agresif, pemboros, "drama queen" dan lebih-lebih lagi, pembohong.
Sikapnya yang kasar turut dikongsi oleh keluarganya sehinggakan banyak laporan polis telah dibuat oleh pembantu-pembantu rumah dan pengawal keselamatan kediaman SM Faisal. Mereka pernah mencederakan serta membuat ancaman bunuh terhadap pembantu rumah SM Faisal. Mahkamah telah mendapati bahawa pihak polis "dilihat tidak menyiasat kes tersebut dengan sempurna dan tidak mengambil tindakan."
Emilia Hanafi bijak menggunakan statusnya sebagai seorang wanita serta ibu tunggal untuk menagih simpati masyarakat selanjutnya menggambarkan SM Faisal Nasimuddin sebagai pihak yang bersalah.
Namun, orang ramai tidak mengetahui bahawa Emilia Hanafi adalah seorang pemegang tali pinggang hitam dalam taewondo. Dakwaan bahawa beliau tidak berdaya mempertahankan diri dari bekas suami adalah pembohongan semata-mata.
Pendapat peribadi saya bahawa SM Faisal tidak bersalah dalam kes ini turut dikongsi oleh Mahkamah yang berpendapat bahawa "Mahkamah berpendapat pengadulah (Emilia Hanafi) orang yang sepatutnya dituduh di Mahkamah ini dan pemohon (SM Faisal) sebenarnya adalah mangsa keganasan yang perlu diberi perhatian dari pihak yang berkuasa."
Ini adalah fakta, bukannya spekulasi. Saya mempertahankan SM Faisal dalam hal ini berdasarkan segala fakta-fakta kes yang tiada kena mengena dengan emosi.
Atas sebab yang sama saya berharap orang ramai kini lebih memahami kes yang mendapat publisiti meluas ini kerana Emilia Hanafi dan keluarganya akan terus melakukan pelbagai perkara lagi untuk menggambarkan diri mereka sebagai mangsa. Mangsa keganasan rumahtangga, mangsa perceraian dan mangsa macam-macam lagi.
Faktanya, Emilia dan keluarganya yang selama ini hanya mengikis harta serta tidak pernah bekerja hanyalah untuk mendapatkan tuntutan berjumlah RM250 juta daripada perceraian mereka. Tuntutan yang tidak masuk akal ini telah menyebabkan sepuluh firma guaman yang dilantik oleh Emilia Hanafi menarik diri. Sekali lagi, ini adalah fakta.
Memang mudah untuk mengecam. Namun lebih baik jika kita mengetahui perkara sebenar sebelum menjatuhkan hukuman. Biarlah pihak berkuasa melaksanakan tanggungjawab mereka, dan biarlah kontroversi ini diselesaikan oleh pihak yang terlibat secara aman. Lagipun, kontroversi ini adalah hal dua keluarga.
SM Faisal enggan membawa isu ini ke medan umum atas alasan yang sama, namun, bekas isteri beliaulah yang tidak berhenti memberi publisiti dengan meminta simpati serta menabur fitnah dan memutarbelit fakta-fakta dan keputusan Mahkamah atas kepentingan peribadi.
Janganlah kita mudah terpedaya semata-mata kerana beliau seorang wanita, dan kerana mangsa tuduhan adalah seorang ‘public figure’ yang bernama SM Faisal Nasimuddin.
- Mir
Dah agak...not a good person
ReplyDelete