Thursday 1 August 2013

PAILANG MINGGU INI #4

Attila the Hun

Gambar 1 : Attila yang popular dengan lagunya “Kekanda, Adinda mari menjarah”


Attila the Hun, jangan terkonfius dengan Atilia yang artis tu ye… yang tu comel dan manis, yang ini ganas dan pailang. Kalau tak pailang, macam mana boleh masuk “Pailang Minggu Ini” ye tak? Attila merupakan Raja Puak Hun dari tahun 434 sehingga kematiannya pada 453 yang memerintah kawasan dari Sungai Ural sehingga Sungai Rhine dan dari Sungai Danube sehingga ke Laut Baltik. Sewaktu pemerintahannya, beliau merupakan salah seorang daripada musuh yang paling digeruni oleh Empayar Rom Timur dan Barat. Bagi membuktikan betapa menggerunkan dan pailangnya beliau ini, beliau memberi gelaran kepada dirinya sendiri “Atilla, flagellum Dei” (Attila, Scourge of God). Nama gelaran yang amat menggerunkan. Buat kau fikir 100 kali sebelum kau nak sailang dia. Malah, sehingga kini, lebih dari 1,500 tahun pun, nama Attila the Hun ini dikaitkan dengan keganasan, kekejaman dan kegemaran terhadap menjarah dan merogol.

Gambar 2 : “Atilla, flagellum Dei”. Sesuai buat tajuk album

Attila the Hun dilahirkan pada tahun 400 Masehi, anak kepada raja puak Hunnic, Rua. Pada waktu itu pun orang Hunnic ni memang dikenali sebagai puak gasar menggerunkan dan sesuka hati boleh mengugut dari empayar Rom Timur sebanyak 300 paun emas setiap tahun bagi mengelakkan dari dijarah oleh mereka. Ni perangai memang macam samseng. Lebih kurang macam kau pegi CM atau Pudu masa kau budak sekolah lepas tu kena tahan dengan entah sapa-sapa dan kena pau. Kau bayar sebab tak nak makan penumbuk atau pun but steel-toe diorang. Haa..macam tula, lebih kurang situasi empayar Rom Timur tu. Pada usia 15 tahun, Attila telah dihantar ke empayar Rom Barat sebagai tebusan politik dan dari situ beliau mempelajari taktik ketenteraan Rom dan betapa mak-datuk-kayanya orang Rom ni. Di sana juga beliau berkawan baik dengan Flavius Aetius, yang suatu hari nanti menjadi seorang jeneral tentera Rom Barat.

Gambar 3 : Keluasan empayar Attila the Hun.


Selepas kemangkatan Rua pada 434, puak Hunnic dipimpin secara tag-team oleh Attila dan abangnya, Bleda selama 7 tahun sehingga kematian Bleda yang dikatakan telah dibunuh oleh Attila sendiri untuk menjadi pemerintah solo tanpa tentangan. Kebetulan pula, time ni la Rom Timur mula tunjuk kerek, tak mahu bayar wang “pelindungan.” Haa..kau tunggu kejap, Attila nak tunjuk “who’s dick is bigger.” Beliau tanpa berlengah, amik kesempatan ini untuk serang Rom Timur dengan askar Hunnic beliau yang amat terkenal sebagai pemanah berkuda yang hebat pada waktu itu. Kalau Pak Cik Sam ada cruise missiles dan tomahawk, Attila the Hun ada askar berkudanya, cruise missiles versi zaman lampau. 

Setelah memenangi pertempuran Gallipoli, Attila peras ugut Maharaja Theodosius, naikkan kadar kepada 700 paun emas setahun, bayaran tebusan bagi setiap rakyat Rom yang ditangkap, hantar pulang orang Hun di Rom, tidak membenarkan Rom menandatangani perjanjian dengan musuh Hun dan tidak mengganggu urusan perdagangan Hunnic di Danube. Tula...berani nak lawan taiko. Lepas tu kalah dan dimalukan. Sebuah empayar kena tunduk kepada puak gasar. Kita ni ingatkan lepas dah kena sekali, serik la kan. Tapi Theodoseus tidak. Pada 447, setelah mengumpul bala tentera yang baru, Theodoseus enggan membayar Attila. Sekali lagi, bertempur askar Rom Timur dan Attila dan sekali lagi Rom Timur tewas kali ini di Marcianopolis. Kali ini, Attila memang nak kenakan Theodoseus. Beliau kenakan syarat bayaran emas 7,000 paun serta merta dan 1,000 paun setiap tahun.

Gambar 4 : Punya la pailang sampai McFarlane buat action figure dia

Pada 451, Honoria, kakak kepada Maharaja Valentinian dari Empayar Rom Barat membantah calon suami untuknya yang telah dipilih oleh Valentinian. Oleh kerana nak melawan punya pasal, Honoria dalam diam hantar surat dan sebentuk cincin kepada Attila. Attila pula baik punya ingat Honoria dok syok dekat dia, ajak kawin. Jadi Attila pun meminta wilayah Gaul dijadikan hantaran perkahwinan. Melihat orang gasar ni sesuka hati mintak wilayah dalam empayar dia sebagai hantaran, Valentinian menolak permintaan tersebut. Attila pulak, dari gaya pailang dia pun boleh tahu bukan jenis senang di rejek-rejek macam tu saja, bertindak menyeberangi Sungai Rhine dan menyerang Rom Barat. Attila menjarah kota-kota jauh di dalam wilayah tengah Gaul dan menyerang kota Orleans. 

Dalam nak lancar serangan terakhir untuk menakluk Orleans, Jeneral Aetius tiba bersama angkatan tentera dan kedua-dua pihak bertempur di Chalons. Pertempuran ini berakhir dengan kekalahan Attila dengan seramai 115,000 daripada 300,000 orang askarnya terkorban. Tapi, satu bendalah kita boleh belajar dari orang gasar macam Attila ni. Diaorang susah nak menyerah. Ada je nak menyerang balik. Punya la tak puas hati tu. Macam Attila, pada 452, beliau kembali menyerang Rom Barat. Kali ini, melintasi banjaran dan menyerang Itali. Punya la dahsyat serangan Attila ni, kota pertama yang ditawan iaitu Aquileia, telah dimusnahkan sehingga 20 tahun selepas serangan itu, tapak kota itu masih tidak didiami oleh sesiapa. Seluruh utara Itali teruk dikerjakannya oleh Attila, dengan kota-kota diranapkan dan dijarah sesuka hati sambil bergerak semakin hampir ke selatan Itali dan semakin hampir ke kota Rom. Dalam keadaan terdesak ini, Pope Leo sendiri berjumpa dengan Attila untuk merayu agar Rom dilepaskan dari diserang. Menakjubkanya, Attila setuju dengan rayuan Pope Leo dan berundur dari menyerang Rom. Sebenarnya, bukan rayuan itu yang sepenuhnya membuatkan Attila berundur. Tetapi disebabkan oleh tentera Hun semakin kurang bekalan makanan dan juga terdapat serangan dari Rom Timur terhadap wilayah Hun. 

Dengan menyedari juga bahawa beliau telah menjarah harta berkoyan-koyan, beliau telah mengambil kesempatan ini untuk berundur sebagai pemenang. Walaupun sudah berundur, Attila masih menyimpan niat untuk menakluk Itali sekali lagi dan maka, jadi lah ia. Namun, pada malam sebelum beliau memulakan kempen menakluk Itali itu, beliau telah berkahwin dan majlis perkahwinan itu penuhi dengan parti minum-minum sampai mabuk sehingga beliau sendiri tidur dalam keadaan mabuk. Apabila keesokkan harinya, Attila telah mati dan didapati bahawa beliau mengalami pendarahan hidung pada malam sebelumnya dan mati disebabkan tercekik darah sendiri. Kematian Attila ini dengan pantasnya telah merobohkan kerajaan Hunnic disebabkan tiada pemimpin yang mampu memerintah dan mengatasi krisis yang berlaku.

Walaupun dilihat sebagai orang gasar, tetapi terdapat penulis barat yang mengambil Attila sebagai model pemimpin dalam penulisan mereka, seperti Wess Roberts dengan bukunya “Leadership Secrets of Attila the Hun” yang mengajar mengenai “win-directed, take-charge management.” Malah, dalam ramai-ramai pemimpin orang gasar, Attila tetap menjadi antara yang terkenal dan menjadi ingatan dalam sejarah sebaris dengan Alexander, Caesar, Cleopatra dan Nero



0 comments:

Post a Comment