Wednesday, 30 May 2018

Punca Demak Bungkus!


DemakDNC Asiatic Holdings Sdn. Bhd, pemegang jenama Demak Motor akan menamatkan sepenuhnya operasi syarikat ini pada 31 Mei 2018. Seperti yang tersebar gambar di media sosial, papan tanda kilang Demak di Banting yang disimbah cat dengan caption. “Demak bangkrap”.
Kemudian, terdengar beberapa khabar angin punca syarikat ini menutup operasi. Desas-desus bertiup kencang mengenai masalah HUTANG, SAMAN dari Honda dan juga sebab-sebab POLITIK. Namun begitu, kami boleh sahkan dari sumber yang rapat dengan industri ini bahawa kesemuanya TIDAK BENAR. Anda boleh rujuk di sini.
Jadi apakah puncanya? sedangkan motosikal ini masih bagus jualannya?
KERUGIAN OPERASI
Sejak ditubuhkan pada 2002, DNC Asiatic yang membawa masuk jenama baru ini telah membuat strategi untuk “menawan” pasaran tempatan menerusi perang harga. Mereka menyasarkan jumlah jualan (volume) berbanding keuntungan.
Pada peringkat awal, strategi ini berkesan.
Sebagai jenama baru, mereka berjaya menjual motosikal ini dengan jumlah yang bagus dengan memberikan insentif tinggi kepada pengedar dan kedai-kedai motosikal. 
Malah komisen jualan motosikal Demak Motor adalah yang tertinggi sehingga mencecah berbelas peratus berbanding komisen yang biasa diberi oleh syarikat motosikal lain sekitar 6 hingga 7 peratus sahaja kepada pengedar.
Apa kesannya?
DNC Asiatic terpaksa menanggung kerugian bagi setiap motosikal yang terjual. Bayangkan jumlah yang ditanggung oleh syarikat ini sejak 2002 hingga 2015 sehinggalah DNC Asiatic membuat keputusan untuk menstruktur semula agihan komisen jualan dengan pengedar motosikal.
Namun, ia ditentang oleh majoriti pengedar Demak yang sudah “selesa” mengaut keuntungan besar. 
Masalah utama dalam industri motosikal negara kita ialah pengedar motosikal lebih “berkuasa” berbanding pengeluar sendiri. (kecuali untuk jenama Yamaha dan Honda)
Khuatir diboikot oleh pengedar, Demak Motor mengekalkan struktur jualan dan sistem komisen yang sama dengan harapan dapat meningkatkan jualan, menambah jumlah pengeluaran sekaligus menurunkan kos.
Mereka mula melabur ke kilang “mega” baru yang terletak di Olak Lempit, Banting Selangor. Ia adalah kilang pengeluaran kedua selepas di Kuching, Sarawak.
Kilang seluas 260,000 kaki persegi ini menempatkan semua kemudahan terkini dan sistem pengeluaran, acuan (molding) yang dipindahkan dari China. Ia mempunyai kapasiti pengeluaran yang mempu mengeluarkan sehingga 200,000 unit motosikal setahun.
Tetapi, walaupun dengan kapasiti pengeluaran sebegitu, jualan Demak Motor di Malaysia masih kekal pada angka 3,500 hingga 4,500 sebulan atau sekitar 54,000 setahun.
Bayangkan kerugian yang ditanggung akibat pelaburan ini dan walaupun begitu, DNC Asiatic masih bertahan dan cuba untuk memanfaatkan kemudahan yang mereka ada dengan membawa masuk jenama MV Agusta
OPERASI SRI LANKA JUGA RUGI
Selain di Malaysia, DNC Asiatic turut mempunyai kilang pemasangan di Sri Lanka. 
Secara keseluruhannya, perniagaan di Sri Lanka juga bagus namun beberapa keputusan operasi dan polisi nyata membebankan syarikat ini.
Kebanyakan bahagian motosikal Demak Motor diimport dari China dan dipasang di kilang di Malaysia. Bagi operasi di Sri Lanka, sepatutnya peralatan-peralatan ini diimport masuk terus dari China, namun disebabkan keperluan polisi CKD di sana, ia perlu diimport masuk dari Malaysia.
Ia menyebabkan proses dua hala yang merugikan syarikat kerana terpaksa menanggung dua kali kos penghantaran dan karenah sistem import eksport dari dua negara. 
Walaupun begitu, ia masih boleh meneruskan operasi, sehinggalah polisi kerajaan Sri Lanka tidak membenarkan aliran tunai keluar.
Menurut sumber kami, polisi tersebut hanya membenarkan separuh sahaja dari keuntungan perniagaan di Sri Lanka dibawa keluar dan sudah tentu, dengan keuntungan yang kecil, ia sangat membebankan syarikat ini.
Walaupun berusaha dengan pelbagai strategi perniagaan, DNC Asiatic ternyata tidak dapat lagi bertahan. Namun selepas dua tahun bergelut dengan masalah kewangan, jelas mereka tidak lagi dapat menampung sepenuhnya operasi dan terpaksa mengambil keputusan untuk menghentikan sepenuhnya perniagaan pada 31 Mei 2018.
Kami di mekanika berdoa agak para pekerja dan semua kakitangan DNS Asiatic mendapat perhatian sewajarnya. 
Sejujurnya, walaupun kami sering troll jenama Demak, sebenarnya ia adalah satu jenama tempatan yang patut diberikan pujian. Ia sudah beroperasi lebih 15 tahun dan ternyata sebuah syarikat yang bercita-cita tinggi walaupun dengan strategori perniagaan motosikal dari China.
Mereka adalah syarikat Malaysia pertama yang menyertai pameran motosikal berprestij di dunia EICMA, Milan Itali. Mereka juga syarikat kecil yang berani membuka kilang di Sri Lanka dan ketika tiada orang yang sanggup mengambil jenama MV Agusta, mereka maju ke depan.
Tapi inilah realiti perit dunia perniagaan.

0 comments:

Post a Comment