Monday, 24 June 2013

Rebiu Filem : "Man of Steel" – Sempurna

Apabila berita tersebar sebelum ini yang seorang pengarah “visionary” bernama Zack Snyder akan membikin filem Superman terbaru, Aku merasa sangat teruja. Aku telah menonton filem "Man of Steel" dua kali dan satu sahaja perkataan yang dapat menggambarkan pendapat Aku tentangnya - "sempurna".

Teruja kerana Zack Snyder yang terkenal dengan filem berbentuk artistik seperti “Watchmen” dan juga “300” akan menghembus nafas baru kepada ikon besar, Aku membesar dengan komik-komik DC yang mana "Superman" adalah adiwira teragung dalam sejarah mereka. Walaubagaimanapun filem-filem Superman yang diadaptasi sebelum ini lebih banyak berkisar tentang keupayaan Superman dan permusuhan dengan musuh-musuh beliau. Filem-filem sebelum ini juga ada kekuatannya namun masih tidak dapat mendalami watak Superman yang sebenar. "Man of Steel" arahan Zack Snyder telah berjaya membawa suatu dimensi baru tentang penceritaan kisah Superman yang sungguh memukau.

Aspek utama yang ingin aku komen adalah tentang bagaimana Zack Snyder mengembangkan watak-watak penting dalam kehidupan Superman dan asal usul beliau. Watak yang paling membawa kesan pada aku adalah Jonathan Kent iaitu bapa angkat   Clark Kent/Superman. Kebetulan pula "Man Of Steel" ditayangkan ketika sambutan hari bapa dan aspek ini yang ingin aku ketengahkan. Cabaran yang dihadapi oleh Jonathan Kent untuk membesarkan Clark Kent sebagai seorang  manusia biasa di bumi telah berjaya digarap oleh Zack Snyder dengan sangat berkesan.

Jonathan Kent telah membayar dengan harga nyawa beliau sendiri bagi memastikan identiti Clark Kent kekal rahsia. Jonathan harus memupuk Clark Kent dengan nilai-nilai murni serta sikap tanggungjawab terhadap diri dan masyarakat. Konflik ini telah digarap dengan begitu teliti oleh Zack Snyder khususnya dalam babak kemalangan bas sekolah. Jonathan Kent terpaksa mendidik Clark Kent agar harus berhati-hati dengan kuasa luar biasa yang ada pada beliau.

Babak yang paling terkesan pada aku adalah ketika puting beliung melanda dan Jonathan Kent menghalang Clark Kent daripada menyelamatkan beliau. Akhirnya kerana berpegang teguh dengan prinsip beliau, Jonathan Kent terkorban dalam babak tersebut. Luluh hati Clark Kent ketika itu yang merasakan sangat tidak berdaya walaupun beliau mampu untuk menyelamatkan bapa beliau. Aku akui, air mata jantan aku menitis menonton babak tersebut.

Aspek sinematografi yang digarap oleh Zack Snyder sangat memukau pada aku. Mungkin ramai yang lebih mengharapkan lebih banyak efek khas namun cara Zack Snyder penuh artistik. Teknik “flashback” acapkali digunakan bagi memudahkan penonton memahami konflik yang dihadapi oleh seorang adiwira bernama Superman. Cuma Zack Snyder harus lebih berhati-hati dengan aspek suntingan kerana ada babak yang kelihatan tidak berapa masuk akal seperti batu yang jelas satu “prop” yang tidak berguling secara normal. Grafik yang digunakan juga amat menarik sekali walaupun kadangkala agak kelihatan gelap khususnya semasa babak di planet “Krypton”.

Perdebatan juga masih dilakukan tentang aspek kostum baru Superman yang jauh tersasar dari apa yang telah digambarkan oleh Komik DC. Namun begitu pada Aku, Zack Snyder jelas telah berjaya menaikkan imej Superman dan membawa dimensi baru tentang adiwira agung bernama Superman.

1 comments: