Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd, operator francais McDonald telah membuat laporan polis bagi menangkis seruan untuk memboikot restoran McDonald melalui media sosial. Mereka juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Kata Azmir Jaafar, Pengarah Urusan syarikat tersebut tuduhan bahawa McDonalds Malaysia menyokong Israel adalah palsu dan fitnah. Katanya juga bahawa sumbangan McDonald di Amerika Syarikat melalui Jewish United Fund (JUF) adalah dibuat melalui suatu program “Matching Gift” yang dibuat pada tahun 2014 yang membenarkan syarikat untuk memadankan (matching) niat sumbangan pekerja-pekerjanya itu dengan penerima sumbangan. Sebanyak 2000 derma telah dibuat di bawah program itu dan hanya 3 derma daripada pekerjanya yang padan dengan JUF. Ada juga derma lain yang padan dengan badan-badan kebajikan Muslim.
Laman web McDonald United Kingdom juga menafikan ada membuat apa-apa sumbangan kepada JUF atau apa-apa badan politik atau apa-apa yang berkaitan konflik politik atau keagamaan.
Antara yang menyeru supaya diboikot McDonalds ini adalah laman web www.inminds.co.uk, Viva Palestina Malaysia, laman fb Aqsa Syarif, mycare.org dan lain-lain. Sejauh manakah benar dakwaan mereka itu? Tuan Puan boleh membuat penyelidikan sendiri berkaitan hal ini.
Dari sudut undang-undang, setakat kajian yang banyak dimasukkan dalam internet ini masih belum menampakkan bukti yang cukup bahawa McDonalds Malaysia menyokong Israel. Dalam kata lain, jika McDonalds Malaysia menfailkan tindakan fitnah ke atas NGO ini maka setakat bukti yang telah dibentangkan itu belum memadai untuk memberikan mereka pembelaan justifikasi atau komen berpatutan.
Dalam satu-satu kes yang melibatkan kausa tindakan fitnah (defamation), plaintif perlu membuktikan tiga elemen utama iaitu bahawa kata-kata fitnah itu merujuk kepada plaintif, kata-kata fitnah itu bukan sahaja tidak benar malah ianya telah menyebabkan orang kebanyakan akan memandang rendah kepada plaintif dan akhir sekali bahawa kata-kata fitnah itu telah disebarkan kepada pihak ketiga.
Setelah plaintif membuktikan ketiga-tiga elemen ini maka defendan perlu mengemukakan pembelaan mereka. Antara pembelaan yang lazim dipakai adalah pembelaan justifikasi, komen berpatutan atau lain-lain. Justifikasi ini bermakna bahawa defendan boleh membuktikan bahawa kata-kata fitnah itu bukannya fitnah tetapi ianya adalah suatu perkara yang sebenar.
Selain tindakan fitnah, McDonald juga boleh menggunakan kausa tindakan lain dalam undang-undang tort berkaitan ekonomi. Dalam tort berkaitan ekonomi ada tiga jenis tort yang biasa digunakan iaitu konspirasi (conspiracy to injure or conspiracy using unlawful means), campurtangan tidak sah dalam perniagaan (unlawful interference with trade), pendustaan yang berniat jahat (malicious falsehood.)
Konspirasi ini berlaku apabila dua atau lebih orang melalui perbuatan mereka telah berbuat sesuatu untuk mendatangkan kemudaratan ke atas kepentingan orang lain.
Manakala, campurtangan tidak sah dalam perniagaan adalah keadaan yang mana satu pihak contohnya, (A) telah melakukan tort ke atas pihak yang lain (B) jika (A) telah berbuat sesuatu perbuatan yang tidak sah di sisi undang-undang yang menjejaskan (c) dengan niat untuk menjejaskan kepentingan (B) dan berikutan itu kepentingan (B) telah terjejas teruk.
Contohnya dalam kes Lumley & Gye (1853) 2 El & Bl [119 ER749), wujud suatu kontrak antara plaintif, sebuah syarikat opera dan Miss Wagner, seorang bintang opera terkenal. Miss Wagner telah diupah untuk membuat persembahan di Queen's Theatre, London. Walau bagaimanapun, sebuah syarikat opera lain telah memujuk Miss Wagner untuk menyanyi dengan operanya dan Miss Wagner telah membatalkan kontrak asal dengan plaintif sehingga plaintif mengalami kerugian teruk.
Manakala, pendustaan yang berniat jahat pula berlaku apabila seseorang itu secara berniat jahat (malice) telah membuat suatu kenyataan palsu dengan niat untuk memusnahkan reputasi atau nama baik seseorang atau sesuatu syarikat dan sekaligus menyebabkan kerugian daripada segi ekonomi. Niat jahat itu boleh dibuktikan jika plaintif dapat menunjukkan bahawa orang itu tahu bahawa kenyataannya itu tidak benar atau cuai dalam kenyataannya sedangkan beliau mempunyai kemampuan untuk mengesahkan kenyataannya itu.
Dalam kes McDonalds ini nampaknya kes pendustaan yang berniat jahat itu nampaknya lebih relevan berbanding tort yang lain.
Oleh itu, jika McDonalds Malaysia mendapati mana-mana kausa tindakan ini sesuai maka McDonalds Malaysia boleh menyaman pihak atau NGO yang berkaitan itu bagi mendapatkan keadilan bagi pihaknya.
Selain itu, harus diingat bahawa melalui laporan polis yang dibuat oleh McDonalds Malaysia itu bahawa suatu tindakan penyiasatan jenayah boleh dibuat ke atas NGO yang berkenaan. Sekiranya ada bukti yang mencukupi NGO yang dilaporkan itu terdedah kepada pendakwaan jenayah. Lazimnya, pihak pendakwa raya akan mendakwa orang yang membuat sebaran palsu tersebut atau pegawai NGO terbabit.
Pendakwaan boleh dibuat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang membawa hukuman didenda tidak melebihi RM50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000.00 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Kesimpulannya, maklumat mengenai boikot McDonald atas alasan McDonalds menyokong Israel itu masih berstatus samar-samar dan belum mempunyai bukti yang konkrit yang boleh dipertahankan di Mahkamah. Jika saudara/i ingin memboikotnya itu secara peribadi itu adalah pilihan masing-masing. Tetapi jika saudara/i ingin menyebarkan maklumat berkaitan boikot McDonalds itu di mana-mana media sosial maka saudara/i mungkin menghadapi risiko untuk didakwa secara jenayah atau sivil.
Oleh itu, dinasihatkan orang ramai berhati-hati apabila menyebarkan mesej berkaitan boikot ini. Jika saudara/i tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk menyebarkan maklumat tersebut maka lebih baik saudara/i hanya berdiam diri sahaja. Usah pergunakan sentimen agama untuk menjustifikasikan tindakan boikot itu kerana alasan sedemikian tidak mampu dipertahankan di mahkamah. Setakat ini pun, belum ada mana-mana mufti yang mengeluarkan kenyataan menyeru untuk memboikot McDonalds. Maka dalam hal ini, berdiam diri itu lebih mulia dan lebih dekat dengan taqwa jika saudara/i sendiri tidak mampu mempertahankan maklumat boikot McDonalds itu.
Sumber- Dr Zulqarnain Lukman
0 comments:
Post a Comment