KEPADA anda yang tidak mengikuti perkembangan semasa, mungkin belum tahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur awal bulan ini baru saja melancarkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) khas yang digelar 'Team Ninja'.
Berbekalkan jentera dual-sport Kawasaki KLX250 (ya, bukan Kawasaki Ninja), unit ini ditugaskan membuat rondaan di 'kawasan panas' sekitar ibu kota Kuala Lumpur. Ini kerana keupayaan jentera itu mampu merentasi lorong sempit dan laluan sukar yang tidak boleh ditempuhi motosikal biasa PDRM.
Jadi, kepada mereka yang berniat mahu melakukan jenayah atau sebarang salah laku, harus diingat kerana PDRM bukan ada 'scrambler' ini saja sebagai senjata. Sebenarnya ada banyak jenis lagi motosikal dimiliki PDRM dan dapat disesuaikan dengan tugasan polis yang semakin mencabar seperti rondaan, kawalan trafik, mengiring VIP dan pemintas (intercept).
Apakah jenis motosikal PDRM? Ikuti senarainya di bawah:
1. HONDA CBX 750P
Pertama sekali tidak lain tidak bukan, sang 'kuda putih' iaitu Honda CBX 750P yang cukup ikonik. Motosikal ini merupakan yang tertua sekali dalam senarai dengan tempoh perkhidmatan menjangkau 30 tahun. Walaupun digantikan beransur-ansur dengan model baharu yang lebih moden dan berkuasa, kelibat 'kuda putih' ini masih boleh dilihat di sesetengah kawasan bagi membantu pihak polis trafik mengawal lalu lintas.
Bagi versi polis, CBX 750P menggunakan pacuan syaf dengan transmisi 6-kelajuan, menyalurkan kuasa 91hp daripada enjin 4 silinder sebaris 747cc ke roda belakang.
2. HONDA VFR 800
Jentera sport touring terkenal, Honda VFR 800 dibawa masuk bagi menggantikan CBX 750P. Model ini dijana enjin V4 yang lebih berkuasa. Uniknya, motosikal turut dilengkapi sistem brek bersepadu berkembar (dual combined brake system) bagi memantapkan kendalian.
VFR 800 mempunyai tugasan meluas, daripada kawalan trafik dan rondaan hingga iringan dan pemintas. Selain itu, unit ini turut digunakan Pasukan Gerakan Khas (PGK), dengan perbezaan warna, iaitu hitam penuh dan ditunggang berdua.
3. HONDA ST 1300
Honda ST 1300 atau Honda Pan-European mempunyai tugasan sama dengan VFR 800, cuma dalam pakej lebih berkuasa. Masih menggunakan enjin jenis V4, tetapi dengan sesaran lebih besar, 1261cc dengan transmisi 5-kelajuan pacuan syaf membenarkan ia dipacu hingga 220kmj.
Di luar negara, ST 1300 dikenal pasti mempunyai masalah stabiliti pada kelajuan tinggi (dalam halaju lebih 180kmj) digelar Pan Weave. Bagaimanapun, menerusi penetapan syarat ketat Honda dari segi kedudukan alat ganti, perkakasan dan had muatan maksimum, membenarkan jentera ini kekal beroperasi dan jadi pilihan pihak berkuasa di banyak negara seluruh dunia.
4. KAWASAKI NINJA 300
Komited mencegah jenayah di kawasan bandar atau tumpuan ramai, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) pada Disember 2012 dengan menjadikan Kawasaki Ninja 300 sebagai jentera khas peronda.
Ya, walaupun kelihatan seperti biasa dilihat, tetapi jangan salah anggap kerana enjin dwi silinder bersesaran 296cc unit peronda Polis ini lebih berkuasa berbanding Ninja 250 atau mana-mana sportbike 250cc. Kawasaki Ninja 300 terbukti pilihan tepat kerana URB mencatatkan rekod cegah jenayah terbaik dengan 51 tangkapan berjaya dilakukan di Selangor sahaja dalam tempoh 2 bulan sejak unit tersebut dilancarkan.
5. KAWASAKI KLX 250
Sebelum pengenalan Team Ninja baru-baru ini, PDRM turut menggunakan Kawasaki KLX 250 sebagai unit rondaan di kawasan-kawasan 'panas' sekitar sempadan negara dan juga untuk kegunaan dalam hutan bagi mengesan aktiviti jenayah seperti pencerobohan sempadan, pembalakan haram dan menjejaki penjenayah bersembunyi.
Jika anda perasan, tidak seperti unit peronda lain, unit peronda yang menunggang KLX 250 ini mengenakan helmet fullface jenis off-road yang memang nampak bergaya dan sepadan dengan jentera ditunggang.
6. KAWASAKI Z250
Selain Ninja 300 tadi, PDRM turut menggunakan jentera naked Kawasaki Z250 yang mula diperkenalkan awal tahun ini. Dari segi prestasi, mungkin tidak setanding Ninja 300, tetapi Z250 ada kelebihan ergonomik yang lebih menegak memudahkan anggota peronda mengendalikannya di kawasan urban dan perumahan dalam bandar. Z250 yang digunakan peronda URB mengekalkan spesifikasi sama seperti Z250 yang digunakan orang awam, tetapi seperti biasa, ditambah kelengkapan polis seperti kotak barang, siren dan bar pelindung kaki.
0 comments:
Post a Comment