Friday 29 June 2018

Pentingnya aktiviti minyak dan gas di Malaysia dikawal selia oleh badan yang stabil


Penolong Profesor Asia School of Business, Dr. Renato Lima de Oliveira, berkata jika setiap negeri berunding semula terma minyak dan gas mereka, ia akan menjejaskan pembangunan industri. Beliau memberi komen semasa mengulas pertikaian pemilikan minyak dan gas di antara syarikat petroleum nasional, Petronas dan negeri Sarawak.
“Apabila semua negeri berunding semula terma mereka, ia akan menyukarkan Malaysia untuk melaksanakan isu agenda negara. Ia adalah lebih baik jika hanya satu entiti sahaja yang menentukan kepentingan hal minyak negara.
“Dengan entiti berasingan mengawal selia semua sumber minyak dan gas negara, had sempadan akan menjadi kabur. Ia juga tidak jelas sama ada syarikat Petros mampu memainkan peranan mereka seperti kejayaan yang dicatat oleh Petronas.
“Saya fikir isu ini bukan sahaja mengenai sumber semula jadi tetapi lebih kepada mencari hak dan saksama untuk Sarawak memaksimumkan pegangannya dalam hasil minyak,” katanya dalam laporan Bisnes NST.
Dr. Oliveira berkata, ini adalah aspirasi yang sah oleh kerajaan Sarawak dan tindak balas semula jadi untuk berkongsi hasil di antara syarikat Petronas dan negeri Sarawak.
"Bagaimanapun, sangat penting untuk sebuah negara seperti Malaysia untuk memiliki syarikat minyak yang lebih dipercayai dan lebih kukuh seperti Petronas untuk mengawal sumber dan aktiviti minyak.
"Ia juga akan mewujudkan ketidakpastian peraturan apabila setiap negeri mempunyai peraturan minyak dan gas tersendiri yang boleh menyebabkan kos yang lebih tinggi.
"Pelabur lebih tertarik kepada negara yang mempunyai badan pengawalseliaan yang kukuh dan stabil untuk mereka melabur," katanya.
Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 menyatakan, keseluruhan hak pemilikan dan hak eksklusif, kuasa dan kebebasan serta hak meneroka, mengeksploitasi, memenangi dan memperolehi petroleum sama ada di darat atau di luar pesisir Malaysia diletakkan di bawah satu Perbadanan yang tertakluk di bawah Akta Syarikat 1965 atau di bawah undang-undang berkaitan dengan perbadanan syarikat.
Perbadanan yang dinyatakan dalam PDA 1974 adalah Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Kerajaan Sarawak mendakwa bahawa PDA 1974 bukan satu pajakan perlombongan kerana Parlimen tidak mempunyai kuasa perlembagaan untuk meluluskan undang-undang berkaitan dengan pengeluaran pajakan perlombongan.
Ia turut mempertikaikan bahawa PDA tidak mengecualikan Petronas daripada mematuhi undang-undang negeri seperti Ordinan Perlombongan Sarawak 1958 dan Kanun Tanah Sarawak.
Petronas bagaimanapun menyatakan bahawa Ordinan Minyak dan Perlombongan tidak lagi berkuatkuasa dan tiada bantahan dari kerajaan Sarawak sejak 1974 mengenai aktiviti huluannya di negeri itu.
Dr. Oliviera yang juga ahli Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), berkata Malaysia adalah antara salah satu negara yang berjaya di dunia di mana ia mempunyai syarikat minyak nasional sebagai pengawal selia dan pengendali sumber minyak dan gas.
"Banyak negara mempunyai Syarikat Minyak Negara yang dikenali sebagai NOC, namun tidak semua seperti Malaysia.
"Petronas adalah salah satu daripada sebilangan kecil syarikat minyak global yang telah mencipta kejayaan di dalam dan luar Malaysia serta berupaya membentuk rantaian bekalan, pengurusan bakat dan memainkan peranan dalam pendidikan di Malaysia. Tambahan pula, ia mempunyai kehadiran besar di luar pasaran domestik,” katanya.

Ditulis oleh: Sarah S.

Sumber: Kwiknews

0 comments:

Post a Comment