Aku suka pergi karaoke dengan kawan-kawan aku. Aku bukan suka menyanyi pun tapi apa yang menghiburkan aku adalah membaca lirik-lirik mengarut lagu-lagu Melayu kita. Kalau tidak percaya cuba pergi karaoke dan perhatikan betul-betul setiap bait lirik kebanyakan lagu-lagu di Malaysia atau Indonesia. Kadang-kadang aku gelak sampai menangis terkenangkan lirik-lirik yang kononnya puitis tetapi langsung tak masuk akal.
Aku tahu bukan senang hendak bikin lagu. Penyatuan irama dan juga lirik tidak semestinya membuahkan hasil yang logik dan masuk akal. Asalkan pendengar suka, siapalah aku untuk tentukan lagu itu bagus atau tidak. Aku rindu lagu-lagu lama seperti yang dinukil oleh arwah Loloq yang punya maksud mendalam dan
menggunakan simile yang tidak melampau pada fikiran aku. Ini pendapat aku dan aku senaraikan di sini beberapa lagu yang layak masuk senarai lagu mengarut aku.
1. Putra – Cinta Kain Putih
“Kain putih, yang kuberikan padamu. Kini pudar warna-warnanya..”
Aduh. Kain itu dah sah berwarna putih. Bagaimana kain putih itu pudar warna-warnanya pun aku keliru. Mungkin ada darjah keputihan pada kain tersebut yang melayakkan sifatnya dirujuk seolah berwarna-warni.
2. Melly Goeslaw & Yusri KRU – Dibius Cinta
“Kau membiusku dengan cinta, cinta yang malu kukatakan..”
Bercinta sampai tidak dapat merasa apa-apa? Agung sungguh cinta yang cuba dibayangkan dalam lagu ini sampai membuatkan diri kita terasa dibius. Dibius bermaksud tidak dapat merasa apa-apa pun? Aku pun bercinta juga, tapi tidak pulak rasa sampai dibius. Kalau pasangan aku buat aku sampai aku tidak mampu
rasa apa-apa, aku cabut.
3. Amelina & Iwan – Yang Tersayang
“Andainya matahari terbit dari barat, tak akan goyah cintaku padamu”
Lagu Dangdut memang “favourite” aku untuk dijadikan bahan jenaka. Banyak lagu Dangdut kalau hendak disenaraikan di sini tetapi paling legenda adalah lagu “Yang Tersayang”. Kalau matahari sudah timbul di barat bermaknanya hari kiamat sudah sampai. Kiamat bai! Kalau sudah kiamat sempat lagi hendak bercinta? Ironinya, abang Iwan sekarang sudah jadi pendakwah dan bikin lagu-lagu ketuhanan.
4. Iklim – Bukanku Tak Cinta
“Sudah sering kau kirim surat, namun tak pernah aku jawab…Lalu ku kirimkan undangan, agar kau tak berharap..”
Aku suka lagu ini sebenarnya. Aku suka suara Saleem yang serak-serak basah itu. Tapi bila aku teringat Video Muzik lagu ini dan lirik-liriknya memang aku hendak gelak. Jalan cerita yang cuba dibayangkan dalam lagu ini adalah berkisar cinta tidak kesampaian di antara seorang Melayu dan seorang perempuan berbangsa Jepun. Cinta “interracial.” Bila difikirkan balik, masing-masing tak faham bahasa. Kalau sudah tidak faham bahasa Jepun, kenapa hendak hantar undangan pula. Lagu satu, kejam rasanya bila cinta tidak kesampaian hantar pula kad undangan kahwin kau. Niat kononnya hendak buat dia lupakan kau? Kejam, sangat kejam.
5. Lefthanded – 3 Dimensi
“Tiada cinta tiga dimensi, sesama kita lagi. Engkau hanyalah gurisan hati, dilukis di atas bumi..”
Abg Man Kidal memang gitaris terbaik yang pernah dilahirkan di Malaysia namun satu lagu ini aku rasa layak tersenarai. Tapi bukan kerana liriknya mengarut atau tidak langsung masuk akal. Lagu 3 Dimensi menunjukkan bahawa penulis lirik ini terkehadapan kerana dapat berfikir secara “3 Dimensi” atau 3D. Cara
berfikir di luar kotak imaginasi di dalam percintaan ini wajar dipuji. Tapi hakikatnya, hidup kita semua memang sentiasa dilihat dalam bentuk 3 dimensi, bukan setakat aspek bercinta sahaja. Aku pun kurang faham sebenarnya maksud di sebaliknya.