Showing posts with label Puasa. Show all posts
Showing posts with label Puasa. Show all posts

Monday, 5 August 2013

5 lagu Raya terbaik Abad ini [Part 1]



Bila lagu raya sudah mula berkumandang di radio, itu bermakna raya sudah hampir. Lagu Raya memang tidak dapat dipisahkan dengan Aidil Fitri. Tidak memeranjatkanlah saban tahun syarikat rakaman akan bikin kompilasi lagu Hari Raya bagi memenuhi kehendak ramai. Namun begitu lagu Raya yang terbaik pada aku adalah lagu-lagu raya lama. Lagu raya yang dibikin kini kurang perisanya. Aku pun tak tahu kenapa. Lagu-lagu raya kegemaran aku semuanya lagu lama. Oleh sebab raya dah dekat aku kongsi dengan semua, senarai lagu-lagu raya kegemaran aku:-

1) Aisyah - Pulanglah


Lagu Raya ini kalau tengah bercinta memang mengundang rasa didengar malam raya. Ini antara lagu raya berkonsepkan percintaan yang terbaik pada aku. Suara Aishah yang mendayu-dayu meratap sendu di pagi rayu mampu meruntuhkan dinding keangkuhan aku. Lirik lagu ini ditulis sendiri oleh Aisyah. Sekarang Aisyah sudah jadi ahli politik.

2) P. Ramlee - Dendang Perantau


Lagu ini memang lagu WAJIB di hari raya. Siapa yang tidak suka lagu ini memang pada aku ada masalah dengan P. Ramlee. Lagu Raya didendangkan oleh seniman agung kita sendiri  bermakna konsep berhari raya ini sudah lama tersemat dalam masyarakat kita. Kalau sesiapa yang tengah menetap di luar negara dan tidak boleh balik ke kampun halaman memang disaran dengar lagu ini.

3) Sudirman - Dari Jauh Kupohon Maaf


Ini salah satu lagu raya klasik yang mampu meruntun jiwa anak-anak muda yang sedang berkelana di perantauan. Jangan cakap perantauan, kalau aku tak dapat cuti pagi raya pun boleh tangkap leleh dengar lagu ini. Suara Allahyarham Sudirman ada magisnya tersendiri dan lagu ini wajib didengar oleh semua di hari raya. 

4) Jamal Abdillah – Salam AidilFitri


Aku memang peminat tegar abang Jamal dan aku pernah dengar dia nyanyi lagu ini secara “live”. Mesej bermaafan di hari raya sangat menyentuh hati aku, lagi-lagi pula dengan sejarah hidup Jamal Abdillah yang berliku, memang sangat terkesan mendengar lagu ini. Suara “bass” dia memang “legend”!

5) Siti Nurhaliza - Sesuci Lebaran


Aku bukan minat sangat Dato Siti tapi lagu raya ini antara kegemaran aku. Kenapa? Aku pun tak tahu kenapa tapi lagu ini memang berjaya mewarnai hari raya aku semenjak dilancarkan. Suara Dato Siti memang sangat lunak apabila melagukan irama Malaysia. Mak aku pun suka lagu ini!


Monday, 22 July 2013

5 Juadah Berbuka Puasa Wajib


Aku selalu teringatkan mak aku bila sampai bulan puasa. Aku akan nantikan masanya untuk berbuka puasa dengan mak aku. Mak aku suka masak dan di bulan puasa, dia akan buat juadah-juadah kegemaran kami sekeluarga. Jadi kalau sampai bulan puasa, aku akan rindu mak aku. Tapi tidak mengapa sebab bazaar Ramadan bersepah kat Kuala Lumpur ni. Kalau pergi bazaar Ramadhan memang akan rambang mata nak pilih. Kalau tidak ada kawalan nafsu yang tinggi, rabak poket kau. Tapi bila aku ke bazaar, ada beberapa juadah yang sentiasa berlegar dalam radar aku:-

1- Tepung Pelita


Kuih Tepung Pelita memang kegemaran semua orang. Aku jarang dapat jumpa orang yang tak suka kuih ini. Gabungan manis dan lemak santan cukup magis dan mampu mengembalikan tenaga setelah seharian berpuasa. Sekarang sudah ramai yang pandai membuat kuih ini dan mudah didapati di merata tempat.

2- Puding Telur


Mak aku pandai buat pudding telur. Puding telur dia kiranya macam “comfort food” aku sepanjang alam kanak-kanak. Oleh itu sampai ke tua ini, aku masih 
cari lagi puding telur ini. Juadah ini sangat popular dan mudah didapati di mana-mana bazaar Ramadan. Namun sukar nak cari yang sama dengan resipi mak 
aku. Tiada yang istimewa, mungkin kasih sayang mak yang buatnya lain daripada yang lain.

3- Murtabak


Berbuka puasa tidak akan sempurna tanpa murtabak. Murtabak sudah jadi sinonim dengan bazaar Ramadan di mana-mana sahaja. Murtabak yang sempurna harus punya kesimbangan dari segi tekstur dan juga isi. Murtabak yang terbaik selalunya yang dijual di Restoran Mamak, tetapi yang dijual di Bazaar Ramadhan pun boleh tahan juga.

4- Cucur Udang


Cucur udang bukanlah kegemaran aku tetapi kegemaran bapak aku. Aku sudah terpengaruh sejak kebelakangan ini. Bapak aku mesti berbuka dengan cucur udang dan saban hari dia akan beli cucur udang sebagai juadah berbukanya. Pernah sekali adik aku terlupa untuk membeli cucur udang untuk bapak aku. Merajuk jugaklah dia. Cucur Udang yang sempurna mengikut bapak aku adalah di dalam kerangupan dan juga kepekatan kuah kacangnya.

5- Roti Boom


Aku tidak pasti kenapa menjelang bulan puasa, nafsu aku pada Roti Boom membuak-buak. Serius. Kalau bukan di bulan puasa aku tidak lalu melihat Roti Boom. Roti Boom yang ranggup dan berlemak dicicah pula dengan kuah Dhal mampu menenangkan seluruh sanubari aku. Jadi pada aku, Roti Boom memang juadah wajib buat aku di bulan Ramadan.

P/s: Selamat Berbuka Puasa Semua!:)

Friday, 19 July 2013

Main kuda balik Raya

Ini pengalaman aku balik raya masa aku masih student ITM dulu. Biasalah, kalau student, lifestyle pun agak haprak, barang-barang berterabur, duit tak menentu dan belajar belakang kira. Kehidupan yang random sepanjang masa. 

Aku share bilik aku dengan lagi 3 orang, rumah aku ada dua bilik dan satu bilik untuk dua orang. Yang share bilik dengan aku, budak Sabah, jarang ada bilik, selalu lepak dengan budak-budak Sabah kat tempat lain. Bilik sebelah ada dua budak Kelantan, jarang jugak lepak bilik, lepak dengan member diaorang yang senegeri jugak. 

Hari Jumaat, aku dah beli tiket bas nak balik kampung minggu lepas. Lepas kelas habis pukul 3, aku pun balik packing barang kat bilik. Lebih kurang setengah jam packing, aku letih lepas tu tertidur terus.

Buka mata, kat luar dah gelap dah. Dah lepas waktu berbuka dah pun. Bas aku pukul 10.30, sekarang pukul 8.15. Sempat lagi. Aku masuk dapur, cari air, tekak dah perit. Nampak botol coke 1.5 Liter dalam fridge, cantik! 


Aku pun tuang penuh gelas, terus minum dengan pantas. Uiks, rasa pelik sikit. Rasa mint. Ahh, pedulikan, aku kena cargas.

Aku pergi naik bas dari Shah Alam ke Pudu. 18 minit tunggu, bas sampai aku pun naik. Duduk ajer kat atas seat, aku terus rasa mengantuk yang amat sangat. Kepala rasa pening. Okay, air tadi mesti bukan coke aje. Aku pun fikir lagi. Cis, mesti geng budak Kelantan tu punya stok ubat batuk diaorang dah masukkan dalam botol Coke.  Jilaka!

Aku tak tahan, mata pun letih nak terbukak. Kepala aku dah masuk waktu Maghrib, akal nak tergelincir dah. Aku pun lelapkan mata.“Bang, dah sampai”. Abang drebar bas sound aku. 

Tinggal aku sorang je dalam bas. Dah pukul 10. Cantik, sempat aku makan lagi. Aku bangun nak berjalan keluar. Pening, kepala masih berat, lutut rasa nak give in, nak give up. Tapi aku perlu teruskan. Kalau aku tidur kat Pudu, mungkin ada orang akan potong kemaluan aku dan jual aku kat Bangkok. Aku tak nak hidup aku berkesudahan begitu. 

Takper, aku makan dulu. Aku nak ambik wallet, eh dah takde. Alamak. Mana perginya wallet aku. Aku check dalam beg, takde jugak. Aiseh, hilang wallet lah pulak di saat-saat kritikal macam ni.

Dalam poket jeans aku ada siling, ada dua ringgit aku kira. Alamak, tiket bas pun dalam wallet aku. Habis, habis! Raya lagi 2 hari, aku ada kat Pudu tanpa tiket, tanpa duit. Semua orang pun tengah sibuk nak balik raya dan ramai yang dah balik dah pun. Zaman tu takde handphone la. Kepala masih berdenyut dan pemandangan pun blur. 


Dazed and Confused in Pudu

Tengah aku jalan pusing pusing kat seberang Pudu, ternampak aku kedai kuda.  Sekurang-kurangnya, aku boleh relaks fikir dalam aircond sambil hisap rokok. 


Tengah kepala pening, aku tengok diorang main mesin kuda.  Aku pun pernah terjebak jugak dulu tapi kejap je pasal aku memang tak terror berjudi. Lagipun judi tu haram. 

Aku masukkan syiling 20 sen, cuba nasib. Letak kat kuda 1-3. Lagu classic racing kuda pun keluar. Jeng jeng jeng, dapat 60 sen.  Aku pun masukkan 60 sen, cuba kuda 1-3 lagi sekali. Dapat RM 1.80. Wow. Wang aku berganda secara kuantum!


Manusia memang tamak. Aku pecahkan duit syiling aku semua ke syiling 50 sen, supaya aku boleh main betting lagi besar.  Mesin lain, crowd lain. We are with the big boys now.

Tiba-tiba aku teringat kata kata Chuck Palahniuk “ The only way to find true happiness is to risk being completely cut open” Mungkin tak relevan dengan kejadian yang aku sedang lalui pun sebenarnya tapi tu pun dah cukup untuk buat aku rasa hero. Dengan kepeningan yang tegar, aku masukkan semua duit aku dan bet untuk dapat 60 kali pulangan. This is it. 

Aku terbayang balik raya dengan adik beradik. Aku terbayang lemang dan mercun dan awek cun kat tepi kampung perasan bagus.  Aku mesti balik.Ting ting ting ting ting ting! Bunyi syiling jatuh kejutkan aku. Aku menang! Victory! Aku dapat 60 syiling 50 sen jadi aku dah ada 30 ringgit. Dengan pantas aku tukar duit kertas kat tauke kedai mesin kuda.  Aku pergi ke Pudu dan cari tiket ke kampung. Stok tiket dah habis tapi mamat runner yang aku jumpa cakap dia boleh kautimkan. 

Aku beli tiket 22 ringgit, 3 ringgit aku belanja makan nasi lemak bungkus dengan ais kosong dan 50 sen aku bagi kat pakcik tua India takde kaki mintak sedekah tepi jalan.

Sampai rumah kol 4 pagi. Aku happy. Dengan izin Allah, dapat juga aku beraya di kampung tahun ni. Syukur.


GULA DAN BULAN PUASA




Bulan Ramadhan elok sangatlah kalau kita kupas pasal pengambilan gula supaya takdelah perut sebesar tong dram bila nak raya nanti. Sedap memang la sedap ambil makanan yang berkandungan gula tinggi ni, tapi akibat pada kesihatan akan datang? Tau kan apa maksud DIABETES? Potong kaki derrrr. 

Apa itu GULA?

Gula adalah sejenis bahan yang memberi rasa manis pada makanan. la wujud secara semulajadi dalam makanan atau sebagai bahan yang ditambah semasa penyediaan makanan dan minuman. Gula yang paling biasa ialah gula pasir atau yang dihasilkan dari pemprosesan tebu. Gula ini seringkali digunakan untuk memaniskan pelbagai minuman ringan seperti kordial, sirap, minuman berkarbonat dan jus buah-buahan. Gula juga ditambah sebagai pemanis ke dalam biskut, jem, kek, cokelat, aiskrim dan beberapa bijirin sarapan. Pengambilan makanan atau minuman yang mengandungi gula tambahan secara berlebihan boleh menyebabkan masalah kesihatan.

Jenis-jenis gula

1- Gula semulajadi

Gula yang terdapat secara semulajadi dalam makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran berkanji, susu dan hasil tenusu.

2- Gula tersembunyi

Gula yang ditambah pada makanan semasa pemprosesan dan penyediaan makanan seperti dalam masakan, minuman, kuih-muih dan sebagainya.

Kesan Gula Terhadap Kesihatan

Meningkatkan risiko berlebihan berat badan dan obesiti seterusnya mendorong kepada masalah diabetes dan penyakit jantung.  
Mengakibatkan gangguan gastrousus.    
Menggalakkan pembentukan karies gigi.
Mengakibatkan kekurangan nutrien kerana kecenderungan individu yang mengambil berlebihan gula menggantikan makanan lain yang lebih berkhasiat.

Mohon selidik dulu jadual gula ni dulu. Jangan main hentam makan je. Itu ‘mentedarah’ namanya.

Kuih


Air

Air lagi banyak bikin panas letak gula. HAHA.


Jadi, rancang pemakanan anda. Aku ni bukan la Kevin Zahri, aku pemerhati. Yeaah!



Monday, 15 July 2013

5 Iklan Raya Terbaik Abad Ini (Part 1)

Salah satu benda yang aku selalu nantikan bila tiba musim puasa adalah iklan Raya. Iklan Raya selalunya akan dibikin dengan sangat berkualiti oleh syarikat-syarikat besar. Mesej dan penceritaan yang dibawa dalam iklan raya mampu mengimbau kenangan silam kita semua. Kadang-kadang rasa sangat terharu dengan mesej kekeluargaan yang dibawa. Boleh tangkap sayu! Aku rasa semua orang rasa benda yang sama tentang iklan raya. Oleh itu aku senaraikan di sini iklan-iklan raya terbaik sepanjang zaman mengikut pendapat aku. Memandangkan terdapat banyak iklan yang layak disenaraikan, aku buat Part 1 dulu.

1) Iklan Petronas Raya : Burung Murai


Simbolik Burung Murai ini memberi kesan mendalam kepada semua. Hanya dengan bermotifkan burung tersebut, penonton dibuai rasa sayu tentang kasih sayang seorang bapa. Memang sangat terkesan di hati dan sanubari ini.

2) Iklan Raya Petronas - Kisah Anak Balik Kampung Cari Internet


Iklan ini juga sangat berkesan membawa aspek hidup metropolitan di kampung. Pengajarannya apabila kita pulang ke kampung di hari raya, tinggalkanlah sebentar peranti-peranti pintar dan luangkan masa berkualiti bersama keluarga.

3) Iklan Raya TV3 2007 - Adibah Noor


Lari dari mesej kebiasaan yang dibawa di dalam iklan raya, Adibah Noor berjaya membawa watak seorang yang skeptik dan sentiasa bersangka buruk kepada semua. Lucu sekali jalan penceritaannya dan antara iklan yang berkualiti pernah dihasilkan TV3.

4) Iklan Raya Petronas 2006


Ini antara iklan raya melankolik yang pernah aku tonton. Kisah bagaimana menjaga seorang bapa yang sakit di rumah. Melayan bapa seperti orang asing di rumah dan akhirnya diberi petunjuk oleh anak-anak mereka sendiri.

5) Iklan Hari Raya Petronas Surat Untuk Ayah


Banyak sekali iklan yang cuba menengahkan kasih sayang seorang bapa. Iklan ini tidak terkecuali juga. Comel sekali pengarapan iklan ini yang mana seorang anak membuat tuntutan kos kepada bapa beliau. Boleh menangis tengok iklan ini.

P/S: Tak sabar menanti iklan raya tahun ini


Infografik #RahmatRamadan

Kalau aku dapat pahala untuk menyampaikan benda yang bermanfaat, itu pun jadilah untuk menyerikan Ramadhan mulia ini.









Friday, 5 July 2013

10 Benda Yang Orang Melayu Suka Buat Dalam Bulan Puasa

Ini melalui pengamatan aku lah, apa yang orang Melayu typical suka buat dalam bulan puasa:

1. Post gambar makanan/minuman  kat Twitter/Facebook


Aku tak tahu kenapa, orang Melayu memang suka upload gambar makanan masa bulan puasa. Kenapa masyarakat Melayu sadis sangat terhadap bangsanya sendiri masa bulan Puasa, aku tak tahu.

2. Hantar gambar awek seksi melalui MMS/Whatsapp/Email kat kawan laki lain


Sebenarnya, bulan bukan bulan puasa pun ramai yang hantar gambar awek seksi kat member-member. Tapi mungkin dengan niat nak menguji kesabaran sahabat mereka semasa berpuasa dan bagi peluang sahabat buat pahala lebih, ramai yang hantar gambar seksi.  Siap ada tag “Moga manfaat” lagi tuh, haha!

3. Berterawih di masjid tanpa konsistensi


Dari pemerhatian aku, di atas merupakan graf kehadiran orang berterawih di masjid. Mungkin korang pernah tengok kedatangan terawih yang lagi best, tapi yang ini kat masjid yang selalu pergi/tak pergi.

4. Berpakaian seksi/baju tidur ke pasar Ramadhan

Memang ramai juga wanita yang cuba mencuba kesabaran kaum lelaki dengan memakai seksi ke pasar ramadhan. 


Ramai lelaki yang pulang dari pasar ramadhan dengan tangan kosong kerana lupa motif sebenar ke pasar Ramadhan.  Jangan pahala kosong sudah yob, nanti sia-sia berlapar dahaga. Tundukkan matamu, wahai pemuda!

5. Memecahkan rekod makan dunia semasa berbuka puasa

Ramai juga antara kita yang menganggap berbuka puasa itu satu pertandingan makanan yang kalau makan lagi laju dan lagi banyak sampai jadi ular sawa adalah champion. 


Sedarlah, perut manusia umpama getah juga, boleh terputus jika ditarik berlebihan.

6. Beli baju Raya macam esok kiamat

Ya, memang Raya Cuma setahun sekali, tapi perlukah kita beli semua yang ada sampai ambik loan bank untuk beli baju Raya? Sampai nak berebut-rebut kain kat Jakel sampai terlupa laki dan anak-anak.


Janganlah melampau dalam bershopping, kerana melampau itu sifat puak pelampau.

7. Berbuka puasa pakai spek mata ciplak kat McDonalds Drive Thru


Entah kenapa, peratusan pengunjung Melayu yang membeli burger McDonalds Drive Thru di siang hari meningkat pada bulan puasa. Mungkin ramai yang nak beli bungkus bawak balik.

8. Bekerja dengan separuh/suku/satu perlapan/satu perseratus/satu perseribu produktiviti hari biasa


Mentang-mentanglah puasa, ramai yang ambil alasan puasa untuk bekerja mengikut kemampuan yang ada lah. 

9. Gastrik!

Memang pelik tetapi kadar gastrik di Malaysia meningkat dengan mendadak dalam bulan puasa. 

10. Guna alasan terawih untuk aktiviti lain

Aku tak boleh nak goreng banyak part ni pasal aku ada #brocode. Pandai-pandai korang lah nak terjemahkan maksudnya.

Wednesday, 26 June 2013

Mak nak handbag baru untuk raya

Sempena raya yang dah tak lama lagi, mak aku awal-awal dah cakap, nak handbag baru.  Spesifikasinya pun dia bagi.  Nak yang warna biru sebab nak padankan dengan baju raya katanya, saiz nak yang muat bawak iPad, handle tak nak yang panjang. Apa lagi entah yang mak cakap, aku dah tak ingat.  Yang aku tahu, paling kurang aku kena bajet untuk handbag yang mak nak tu, RM1,000. Pengsan!

Sebenarnya aku memang tak faham langsung dengan konsep handbag perempuan ni.  Handbag tak pernah cukup.  Mak aku dalam almari dia kat bawah tu penuh dengan handbag, tapi aku tengok yang dia asyik guna, yang satu tu aje. Yang lain, bila ditanya, ada yang untuk pergi kenduri lah, untuk pergi majlis lah, 
untuk pergi teman ayah kat padang golf lah (huh?).  Bukan handbag tu fungsi dia untuk bawak barang-barang yang sama ke. Perlu ke nak tukar-tukar? 

Lepas tu mak cakap, habis tu awak, nak motor besar lagi buat apa? Kan dah ada EX5 dengan Blade tu? Mak sebut Blade je aku dah tersentap, tiba-tiba teringat motor aku tu yang dah lama kat bengkel.  Vavi punya bengkel … bila motor aku nak siap entah. 

Ala mak ni, motor tu lain, kalau tambah satu, baru tiga … mak punya handbag dah tiga puluh! 
Mak sambung, “Kita kena hormat orang.  Masing-masing ada minat sendiri.  Kadang-kadang kita memang tak faham kenapa orang tu suka sesuatu benda tu sampaikan sanggup berhabis duit dan masa.  Sebabnya,  bila kita ada hobi, minat dengan sesuatu aktiviti atau benda, bila kita berhabis tu, kita beri kepuasan pada diri sendiri, sebagai reward, sebagai tempat kita divert attention kita dari masalah seharian.  Macam ayah tu, hari cuti je ada kat padang golf.  Tak cukup lagi tu, sanggup pergi jauh-jauh sebab orang ajak.  Ingat mak tak terasa ke? Tapi mak nak buat macam mana.  Mak kena hormat lah minat ayah tu.  Cumanya, kenalah cari minat yang positif sebab itu sebahagian dari hidup kita.  Tapi, kalau ayah tiba-tiba berminat nak tambah cawangan, memang mak hayun kayu golf tu kat kereta dia.”  

Eh mak ni tiba-tiba emo pulak…

Hmm … betul jugak cakap mak tu. Kita kena hormat orang.  Kalau kita tak setuju dengan apa yang orang lain suka, jangan la nak persoalkan banyak-banyak sampai tahap mengeji.  Kalau minat kita orang dok mengutuk, bengang la jugak kan.  Janji apa yang kita suka tu tak memberi kesan-kesan negatif pada kita dan orang-orang sekeliling kita, sudah lah.  

Ok lah mak… nanti mak dapatlah handbag baru mak tu.    

Lepas ni aku nak jumpa boss.  Nak mintak buat OT bulan puasa ni nanti.