Showing posts with label #rahmatRamadhan. Show all posts
Showing posts with label #rahmatRamadhan. Show all posts

Monday, 5 August 2013

5 lagu Raya terbaik Abad ini [Part 1]



Bila lagu raya sudah mula berkumandang di radio, itu bermakna raya sudah hampir. Lagu Raya memang tidak dapat dipisahkan dengan Aidil Fitri. Tidak memeranjatkanlah saban tahun syarikat rakaman akan bikin kompilasi lagu Hari Raya bagi memenuhi kehendak ramai. Namun begitu lagu Raya yang terbaik pada aku adalah lagu-lagu raya lama. Lagu raya yang dibikin kini kurang perisanya. Aku pun tak tahu kenapa. Lagu-lagu raya kegemaran aku semuanya lagu lama. Oleh sebab raya dah dekat aku kongsi dengan semua, senarai lagu-lagu raya kegemaran aku:-

1) Aisyah - Pulanglah


Lagu Raya ini kalau tengah bercinta memang mengundang rasa didengar malam raya. Ini antara lagu raya berkonsepkan percintaan yang terbaik pada aku. Suara Aishah yang mendayu-dayu meratap sendu di pagi rayu mampu meruntuhkan dinding keangkuhan aku. Lirik lagu ini ditulis sendiri oleh Aisyah. Sekarang Aisyah sudah jadi ahli politik.

2) P. Ramlee - Dendang Perantau


Lagu ini memang lagu WAJIB di hari raya. Siapa yang tidak suka lagu ini memang pada aku ada masalah dengan P. Ramlee. Lagu Raya didendangkan oleh seniman agung kita sendiri  bermakna konsep berhari raya ini sudah lama tersemat dalam masyarakat kita. Kalau sesiapa yang tengah menetap di luar negara dan tidak boleh balik ke kampun halaman memang disaran dengar lagu ini.

3) Sudirman - Dari Jauh Kupohon Maaf


Ini salah satu lagu raya klasik yang mampu meruntun jiwa anak-anak muda yang sedang berkelana di perantauan. Jangan cakap perantauan, kalau aku tak dapat cuti pagi raya pun boleh tangkap leleh dengar lagu ini. Suara Allahyarham Sudirman ada magisnya tersendiri dan lagu ini wajib didengar oleh semua di hari raya. 

4) Jamal Abdillah – Salam AidilFitri


Aku memang peminat tegar abang Jamal dan aku pernah dengar dia nyanyi lagu ini secara “live”. Mesej bermaafan di hari raya sangat menyentuh hati aku, lagi-lagi pula dengan sejarah hidup Jamal Abdillah yang berliku, memang sangat terkesan mendengar lagu ini. Suara “bass” dia memang “legend”!

5) Siti Nurhaliza - Sesuci Lebaran


Aku bukan minat sangat Dato Siti tapi lagu raya ini antara kegemaran aku. Kenapa? Aku pun tak tahu kenapa tapi lagu ini memang berjaya mewarnai hari raya aku semenjak dilancarkan. Suara Dato Siti memang sangat lunak apabila melagukan irama Malaysia. Mak aku pun suka lagu ini!


Thursday, 1 August 2013

MALAM 7 LIKUR AMALAN BIDAAH


Malam Tujuh Likur, adalah sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadan. Kebiasaannya lampu-lampu pelita akan dipasang untuk menyerikan halaman rumah. Bersempena dengan itu, konsep cahaya pelita diadaptasikan sebagai satu simbol ‘NUR’ yang menerangi sebuah kehidupan.

Amalan 'Malam Tujuh Likur' dengan menyalakan pelita, lilin, panjut dan lampu-lampu pada malam 27 Ramadan merupakan amalan bidaah dalam Islam. Mantan Pegawai Agama Istana Negara, Dato' Abu Hassan Din Al-Hafiz menegaskan istilah tujuh likur itu sendiri tidak ada di dalam ajaran agama Islam.

Amalan karut tersebut tidak wujud dalam ajaran Islam lebih-lebih lagi mereka yang percaya pada malam 27 itu perlu disinari dengan cahaya lampu. Kenapa malam yang dikatakan tujuh likur itu sahaja lampu mesti dipasang? Tidak dinafikan ada sesetengah umat Islam menganggap pada malam 27 itu adalah malam Lailatul Qadar sebab itulah mereka menerangkan suasana rumah mereka dengan cahaya lampu atau pelita.

Nabi SAW bersabda Lailatul Qadar adalah sepuluh malam terakhir yang kita tidak tahu bila malamnya. Bukannya pada malam 27 Ramadan.Kalau hendak pasang juga lampu, biarlah ianya dimulakan pada awal Ramadan sehingga akhir bulan itu. Kalau kita hendak muliakan Ramadan awal lagi kita sudah pasang lampu.

Malam tujuh likur biasanya diamalkan di kampung-kampung yang mana hampir keseluruhan rumah akan disinari dengan cahaya lampu terutama menjelang Syawal, bagaimanapun amalan ini sudah sebati dalam masyarakat Islam pada hari ini.



Monday, 29 July 2013

5 Iklan Raya Terbaik Abad Ini (Part 2)


Ini adalah bahagian kedua senarai iklan raya terbaik abad ini. Banyak iklan yang layak disenaraikan di sini tetapi aku menilai mengikut apa yang aku rasa. Iklan raya yang berkesan sentiasa membawa mesej kekeluargaan dan keharmonian. Aku bertuah sebab masih punya ayah dan mak serta kampung halaman. Oleh itu, hari raya lebih bermakna buat aku. Ini sambungan senarai 5 iklan yang terbaik pernah dihasilkan di Malaysia:-

1) Iklan Raya TM 2008


Budaya Balik Kampung sebenarnya semakin lama, semakin terhakis dek kerana pelbagai faktor. Pada aku, raya tidak akan sempurna jika tidak pulang ke kampung halaman. Iklan oleh TM ini sungguh menyentuh hati dan sanubari aku. Hargailah ibu bapa kita selagi mereka masih ada.

2) Iklan raya 2011- Permintaan Terakhir


Mengisahkan seorang isteri yang mahu menunaikan permintaan terakhir suaminya setelah mengetahui dirnya tidak dapat hidup lama kerana didapati menghidap barah otak. oleh itu kita harus hargai apa yang ada di hadapan kita sebelum ia meninggalkan kita. Sebuah produksi FarhanJamil yang cuba membawa sebuah penceritaan sadis kasih seorang isteri berlatarbelakangkan hari raya.

3) Iklan Hari Raya EON tahun 80an


Iklan klasik tahun 80an wajib disenaraikan kerana memaparkan lagu yang suatu ketika dahulu sering bermain di fikiran aku. Iklan EON ni simple sahaja, namun gandingan Jamal Abdillah dan Raja Ema berjaya menyuntik kelainan pada iklan hari raya. Lama sudah EON tidak membikin iklan raya.

4) Iklan Raya TV3 (2011) - "Kasih Yang Suci,Tiada Noktahnya "


Kalau iklan raya mampu buat aku bergenang air mata, iklan itu layak disenaraikan. Iklan Raya TV3 tahun 2011 ini mengisahkan penyatuan semula keluarga yang terpisah dek kesempitan kewangan. Ringkas tapi babak memohon maaf pada ibu memang tangkap leleh bai! Lagu “Perpisahan” oleh Anuar Zain dijadikan lagu latar pada iklan ini dan telah berjaya memberi mood melankolik itu.

5) Iklan Raya PNB - Baju Melayu Oren


“Suatu yang baik, janganlah diabaikan” adalah mesej yang cuba dibawa di dalam iklan lucu ini. Apabila melihat kembali sikap pembaziran yang sering kali diamalkan apabila tiba waktu raya, iklan ini berjaya membawa mesej agar bersederhana. Babak akhir yang sang suami jadi “Incredible Hulk” memang best. 

P/S: Masih menanti iklan raya terbaik tahun ini





Friday, 19 July 2013

GULA DAN BULAN PUASA




Bulan Ramadhan elok sangatlah kalau kita kupas pasal pengambilan gula supaya takdelah perut sebesar tong dram bila nak raya nanti. Sedap memang la sedap ambil makanan yang berkandungan gula tinggi ni, tapi akibat pada kesihatan akan datang? Tau kan apa maksud DIABETES? Potong kaki derrrr. 

Apa itu GULA?

Gula adalah sejenis bahan yang memberi rasa manis pada makanan. la wujud secara semulajadi dalam makanan atau sebagai bahan yang ditambah semasa penyediaan makanan dan minuman. Gula yang paling biasa ialah gula pasir atau yang dihasilkan dari pemprosesan tebu. Gula ini seringkali digunakan untuk memaniskan pelbagai minuman ringan seperti kordial, sirap, minuman berkarbonat dan jus buah-buahan. Gula juga ditambah sebagai pemanis ke dalam biskut, jem, kek, cokelat, aiskrim dan beberapa bijirin sarapan. Pengambilan makanan atau minuman yang mengandungi gula tambahan secara berlebihan boleh menyebabkan masalah kesihatan.

Jenis-jenis gula

1- Gula semulajadi

Gula yang terdapat secara semulajadi dalam makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran berkanji, susu dan hasil tenusu.

2- Gula tersembunyi

Gula yang ditambah pada makanan semasa pemprosesan dan penyediaan makanan seperti dalam masakan, minuman, kuih-muih dan sebagainya.

Kesan Gula Terhadap Kesihatan

Meningkatkan risiko berlebihan berat badan dan obesiti seterusnya mendorong kepada masalah diabetes dan penyakit jantung.  
Mengakibatkan gangguan gastrousus.    
Menggalakkan pembentukan karies gigi.
Mengakibatkan kekurangan nutrien kerana kecenderungan individu yang mengambil berlebihan gula menggantikan makanan lain yang lebih berkhasiat.

Mohon selidik dulu jadual gula ni dulu. Jangan main hentam makan je. Itu ‘mentedarah’ namanya.

Kuih


Air

Air lagi banyak bikin panas letak gula. HAHA.


Jadi, rancang pemakanan anda. Aku ni bukan la Kevin Zahri, aku pemerhati. Yeaah!



Monday, 15 July 2013

5 Iklan Raya Terbaik Abad Ini (Part 1)

Salah satu benda yang aku selalu nantikan bila tiba musim puasa adalah iklan Raya. Iklan Raya selalunya akan dibikin dengan sangat berkualiti oleh syarikat-syarikat besar. Mesej dan penceritaan yang dibawa dalam iklan raya mampu mengimbau kenangan silam kita semua. Kadang-kadang rasa sangat terharu dengan mesej kekeluargaan yang dibawa. Boleh tangkap sayu! Aku rasa semua orang rasa benda yang sama tentang iklan raya. Oleh itu aku senaraikan di sini iklan-iklan raya terbaik sepanjang zaman mengikut pendapat aku. Memandangkan terdapat banyak iklan yang layak disenaraikan, aku buat Part 1 dulu.

1) Iklan Petronas Raya : Burung Murai


Simbolik Burung Murai ini memberi kesan mendalam kepada semua. Hanya dengan bermotifkan burung tersebut, penonton dibuai rasa sayu tentang kasih sayang seorang bapa. Memang sangat terkesan di hati dan sanubari ini.

2) Iklan Raya Petronas - Kisah Anak Balik Kampung Cari Internet


Iklan ini juga sangat berkesan membawa aspek hidup metropolitan di kampung. Pengajarannya apabila kita pulang ke kampung di hari raya, tinggalkanlah sebentar peranti-peranti pintar dan luangkan masa berkualiti bersama keluarga.

3) Iklan Raya TV3 2007 - Adibah Noor


Lari dari mesej kebiasaan yang dibawa di dalam iklan raya, Adibah Noor berjaya membawa watak seorang yang skeptik dan sentiasa bersangka buruk kepada semua. Lucu sekali jalan penceritaannya dan antara iklan yang berkualiti pernah dihasilkan TV3.

4) Iklan Raya Petronas 2006


Ini antara iklan raya melankolik yang pernah aku tonton. Kisah bagaimana menjaga seorang bapa yang sakit di rumah. Melayan bapa seperti orang asing di rumah dan akhirnya diberi petunjuk oleh anak-anak mereka sendiri.

5) Iklan Hari Raya Petronas Surat Untuk Ayah


Banyak sekali iklan yang cuba menengahkan kasih sayang seorang bapa. Iklan ini tidak terkecuali juga. Comel sekali pengarapan iklan ini yang mana seorang anak membuat tuntutan kos kepada bapa beliau. Boleh menangis tengok iklan ini.

P/S: Tak sabar menanti iklan raya tahun ini


Infografik #RahmatRamadan

Kalau aku dapat pahala untuk menyampaikan benda yang bermanfaat, itu pun jadilah untuk menyerikan Ramadhan mulia ini.