Showing posts with label Selamat hari raya. Show all posts
Showing posts with label Selamat hari raya. Show all posts

Monday, 5 August 2013

Info Roadblock JPJ dan PDRM UPDATE 2013 Lokasi Speedtrap



Lagi berapa hari lagi nak raya dah, ada yang dah mulakan perjalanan balik ke kampung ada yang tengah menunggu habis kerja baru nak balik, yang pastinya tiap-tiap kali habis raya ada masalah yang akan menghantui kita. Hahahahaha saman! Duit dah habis buat belanja raya, bagi duit raya.. hulur sana hulur sini alih-alih balik dari kampung surat saman sampai ke rumah. Demi membantu rakyat Malaysia yang tak tahu nak bawak slow ni update yang terbaru kawasan yang akan ada speed trap. Tempat dah tahu, bawak laju lagi tak tahu la. Ingatlah orang yang tersayang, pandu berhati-hati.. kalau penat tidur lah dulu. 

Selamat hari Raya, Maaf Zahir Batin 

PLUS Arah Utara (Dari KL):

1- Km 197.1, Km 198.8 & Km 204.3 selepas exit Kemunting
2- Km 208 & Km 214.8 sebelum exit Kemunting
3- Km 271 berdekataan exit Ipoh Selatan
4- Km 274.4 berdekatan exit Ipoh Utara
5- Km 286.9 berdekatan exit Simpang Pulai
6- Km 296 berdekatan exit Gopeng
7- Km 352.6 selepas exit Sungkai
8- Km 373 berdekatan exit Slim River
9- Km 241.9 berdekatan exit Kuala Kangsar
10- Km 308.6 selepas exit Gopeng
11- Km 252 masa turun bukit selepas terowong Menora
12- Km tak pasti tapi betul2 di R&R Gurun
13- 2 km after tol Juru (90km/j)
14- 5 kamera di atas jambatan pulau pinang (so slow je la kat situ)

PLUS Arah Selatan:

1- Km 289 sebelum exit Nilai Selatan
2- Ada 3 kamera antara Km 255 - Km 249 (Persimpangan Seremban - Senawang)
3- Km 253 selepas exit Senawang
4- Km 213.9 selepas exit Alor Gajah
5- Betul2 di exit Jasin
6- Km tak pasti tapi selepas hentian sebelah Tangkak
7- Km juga tak pasti tapi jambatan pertama selepas exit Yong Peng utara
8- Km 97.3 selepas exit Air Hitam
9- Betul2 di exit Sedenak

PLUS Tengah

1- Km 456 selepas exit Sungai Buluh
2- Betul2 di exit Bukit Lanjan
3- Betul2 dibawah Restoran Jejantas Sg Buloh
4- Km 302.8 berdekatan exit Kajang
5- Km 296.5 & Km 297 berdekatan exit Bangi

NKVE

1- 300 meter sebelum tol Jalan Duta (60 km/j)
2- Selepas cabang jalan ke tol Jalan Duta (80km/j)
3- Betul2 di exit Damansara
4- Km 11.2 berdekatan rel keretapi
5- Betul2 di exit Shah Alam

KESAS

1- Km 44.8 berdekatan exit LDP
2- Berhadapan Endah Parade
3- Betul2 di exit Hicom

ELITE

(Dari arah KLIA)

1- Km 4.8 selepas exit Batu 32- Km
2 - Km 4 atas jambatan berdekatan Makro
3- Betul2 kat bawah restoran jejantas USJ4- Km 10 sebelum exit USJ

JALAN PERSEKUTUAN

1- Bersebelahan Hotel Mint
2- Berdekatan Esso kat exit Salak Selatan
3- Berhadapan dengan Istana Negara
4- Berhadapan dengan Muzium Negara
5- Kawasan turun bukit selepas pekan Raub (Menghala Kuala Lipis)
6- 2 km sebelum pekan Maran (Arah Kuantan)
7- Area Paya Bungor (Arah Kuantan)
8- Selepas exit ke Bentong (Menghala ke LPT)
9- Jalan Gambang - Kuantan (Turun bukit selepas Matrikulasi Pahang)
10- Berhadapan dengan Mini Malaysia Melaka (70km/j)
11- Berhadapan dengan Zoo Melaka (70 km/j)
12- Bawah jambatan dari Banting ke KLIA (80 km/j)
13- Berhadapan dengan Kolej Inti, Nilai
14- Persimpangan Sg Manggis menghala ke Klang (60 km/j)
15- Berhadapan Tesco Klang (70 km/j)
16- Jambatan berdekatan rumah MB Selangor kat Pasir Panjang (70km/j)
17- 2 km selepas sempadan Perak-Selangor di Jalan Sabak Bernam (berdekatan kilang kelapa sawit)
18- Laluan bertingkat antara USM ke Bayan Lepas.
19- Jelutong expressway berdekatan Tesco Pulau Pinang
20- MRR2 antara simpang Taman Melati & Wangsa Maju
21- MRR2 berhadapan Mikro CherasFlyingg Airbone.


Aku Tak Menyesal Mak Bapak Aku Tak Pernah Galakkan Aku Main Mercun


KUALA PILAH – "Saya menyesal," kata Che Jum Che Harun, 13, pelajar tahfiz yang kehilangan tiga jari kanan akibat bermain mercun di Rumah Rakyat Senaling, Kampung Batang Pilah, dekat sini, malam kelmarin.

Mangsa, seorang pelajar di Pondok Madrasah Darus Islah Ulu Gemilang, Kampung Ulu Melang, hancur pada ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah apabila mercun jenis Di Boom yang dibeli pada hari raya tahun lalu meletup di tangan sebaik saja api dicucuhkan pada sumbunya.

"Jika saya tak bermain mercun, hari ini (semalam) saya akan beli pakaian raya bersama keluarga. Tapi kini, saya terpaksa beraya di hospital," katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini semalam.

Kejadian menimpa mangsa berlaku kira-kira 8 malam kelmarin di hadapan gelanggang sepak takraw tidak jauh dari rumahnya yang turut disaksikan adik dan rakan-rakan mangsa.

Ibu mangsa, Suriati Ismail, 33, berkata, ketika kejadian, anaknya baru pulang dari surau sebelum berjumpa rakan-rakan untuk bermain mercun di kawasan itu."Mercun itu dibeli tahun lalu dan masih ada tiga baki. Tahun lalu, dia main mercun sama ikut cara betul dengan meletakkan mercun atas tanah, kemudian cucuh sumbu guna kayu dari jarak agak jauh. Tetapi semalam (malam kelmarin), dia pegang mercun itu ketika dicucuh, tak sempat lontar apabila disuruh rakannya," katanya.

Menurutnya, dia menyedar kejadian itu selepas dimaklumkan seorang lagi anaknya, Farah, 9, yang turut serta bermain, lantas berlari untuk memberitahu kejadian itu.“Saya terkejut dan terus bergegas keluar. Saya nampak tangan Che Jum berlumuran darah. Saya cepat-cepat balut tangan dengan serban putih dipakainya. Habis jubah putih yang dipakainya juga penuh darah," katanya.

Suraiti berkata, mereka kemudian bergegas ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.Namun, katanya, doktor memaklumkan kuku ibu jari anaknya pecah, jari telunjuk hancur tinggal tulang, manakala jadi tengah melecur dan kesemua tidak dapat diselamatkan lagi.

"Saya diberitahu pembuluh darah jari juga sudah putus. Doktor masih melihat sama ada perlu dipotong atau tidak," katanya.Menurutnya, ketika kejadian, anaknya baru dua hari pulang dari belajar Pondok Madrasah Darus Islah Ulu Gemilang.

Mangsa yang merupakan anak sulung dari tiga beradik kini ditempatkan di wad lima HTAN sebelum pembedahan dilakukan petang semalam.

5 lagu Raya terbaik Abad ini [Part 1]



Bila lagu raya sudah mula berkumandang di radio, itu bermakna raya sudah hampir. Lagu Raya memang tidak dapat dipisahkan dengan Aidil Fitri. Tidak memeranjatkanlah saban tahun syarikat rakaman akan bikin kompilasi lagu Hari Raya bagi memenuhi kehendak ramai. Namun begitu lagu Raya yang terbaik pada aku adalah lagu-lagu raya lama. Lagu raya yang dibikin kini kurang perisanya. Aku pun tak tahu kenapa. Lagu-lagu raya kegemaran aku semuanya lagu lama. Oleh sebab raya dah dekat aku kongsi dengan semua, senarai lagu-lagu raya kegemaran aku:-

1) Aisyah - Pulanglah


Lagu Raya ini kalau tengah bercinta memang mengundang rasa didengar malam raya. Ini antara lagu raya berkonsepkan percintaan yang terbaik pada aku. Suara Aishah yang mendayu-dayu meratap sendu di pagi rayu mampu meruntuhkan dinding keangkuhan aku. Lirik lagu ini ditulis sendiri oleh Aisyah. Sekarang Aisyah sudah jadi ahli politik.

2) P. Ramlee - Dendang Perantau


Lagu ini memang lagu WAJIB di hari raya. Siapa yang tidak suka lagu ini memang pada aku ada masalah dengan P. Ramlee. Lagu Raya didendangkan oleh seniman agung kita sendiri  bermakna konsep berhari raya ini sudah lama tersemat dalam masyarakat kita. Kalau sesiapa yang tengah menetap di luar negara dan tidak boleh balik ke kampun halaman memang disaran dengar lagu ini.

3) Sudirman - Dari Jauh Kupohon Maaf


Ini salah satu lagu raya klasik yang mampu meruntun jiwa anak-anak muda yang sedang berkelana di perantauan. Jangan cakap perantauan, kalau aku tak dapat cuti pagi raya pun boleh tangkap leleh dengar lagu ini. Suara Allahyarham Sudirman ada magisnya tersendiri dan lagu ini wajib didengar oleh semua di hari raya. 

4) Jamal Abdillah – Salam AidilFitri


Aku memang peminat tegar abang Jamal dan aku pernah dengar dia nyanyi lagu ini secara “live”. Mesej bermaafan di hari raya sangat menyentuh hati aku, lagi-lagi pula dengan sejarah hidup Jamal Abdillah yang berliku, memang sangat terkesan mendengar lagu ini. Suara “bass” dia memang “legend”!

5) Siti Nurhaliza - Sesuci Lebaran


Aku bukan minat sangat Dato Siti tapi lagu raya ini antara kegemaran aku. Kenapa? Aku pun tak tahu kenapa tapi lagu ini memang berjaya mewarnai hari raya aku semenjak dilancarkan. Suara Dato Siti memang sangat lunak apabila melagukan irama Malaysia. Mak aku pun suka lagu ini!


Thursday, 1 August 2013

MALAM 7 LIKUR AMALAN BIDAAH


Malam Tujuh Likur, adalah sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadan. Kebiasaannya lampu-lampu pelita akan dipasang untuk menyerikan halaman rumah. Bersempena dengan itu, konsep cahaya pelita diadaptasikan sebagai satu simbol ‘NUR’ yang menerangi sebuah kehidupan.

Amalan 'Malam Tujuh Likur' dengan menyalakan pelita, lilin, panjut dan lampu-lampu pada malam 27 Ramadan merupakan amalan bidaah dalam Islam. Mantan Pegawai Agama Istana Negara, Dato' Abu Hassan Din Al-Hafiz menegaskan istilah tujuh likur itu sendiri tidak ada di dalam ajaran agama Islam.

Amalan karut tersebut tidak wujud dalam ajaran Islam lebih-lebih lagi mereka yang percaya pada malam 27 itu perlu disinari dengan cahaya lampu. Kenapa malam yang dikatakan tujuh likur itu sahaja lampu mesti dipasang? Tidak dinafikan ada sesetengah umat Islam menganggap pada malam 27 itu adalah malam Lailatul Qadar sebab itulah mereka menerangkan suasana rumah mereka dengan cahaya lampu atau pelita.

Nabi SAW bersabda Lailatul Qadar adalah sepuluh malam terakhir yang kita tidak tahu bila malamnya. Bukannya pada malam 27 Ramadan.Kalau hendak pasang juga lampu, biarlah ianya dimulakan pada awal Ramadan sehingga akhir bulan itu. Kalau kita hendak muliakan Ramadan awal lagi kita sudah pasang lampu.

Malam tujuh likur biasanya diamalkan di kampung-kampung yang mana hampir keseluruhan rumah akan disinari dengan cahaya lampu terutama menjelang Syawal, bagaimanapun amalan ini sudah sebati dalam masyarakat Islam pada hari ini.



Monday, 29 July 2013

5 Iklan Raya Terbaik Abad Ini (Part 2)


Ini adalah bahagian kedua senarai iklan raya terbaik abad ini. Banyak iklan yang layak disenaraikan di sini tetapi aku menilai mengikut apa yang aku rasa. Iklan raya yang berkesan sentiasa membawa mesej kekeluargaan dan keharmonian. Aku bertuah sebab masih punya ayah dan mak serta kampung halaman. Oleh itu, hari raya lebih bermakna buat aku. Ini sambungan senarai 5 iklan yang terbaik pernah dihasilkan di Malaysia:-

1) Iklan Raya TM 2008


Budaya Balik Kampung sebenarnya semakin lama, semakin terhakis dek kerana pelbagai faktor. Pada aku, raya tidak akan sempurna jika tidak pulang ke kampung halaman. Iklan oleh TM ini sungguh menyentuh hati dan sanubari aku. Hargailah ibu bapa kita selagi mereka masih ada.

2) Iklan raya 2011- Permintaan Terakhir


Mengisahkan seorang isteri yang mahu menunaikan permintaan terakhir suaminya setelah mengetahui dirnya tidak dapat hidup lama kerana didapati menghidap barah otak. oleh itu kita harus hargai apa yang ada di hadapan kita sebelum ia meninggalkan kita. Sebuah produksi FarhanJamil yang cuba membawa sebuah penceritaan sadis kasih seorang isteri berlatarbelakangkan hari raya.

3) Iklan Hari Raya EON tahun 80an


Iklan klasik tahun 80an wajib disenaraikan kerana memaparkan lagu yang suatu ketika dahulu sering bermain di fikiran aku. Iklan EON ni simple sahaja, namun gandingan Jamal Abdillah dan Raja Ema berjaya menyuntik kelainan pada iklan hari raya. Lama sudah EON tidak membikin iklan raya.

4) Iklan Raya TV3 (2011) - "Kasih Yang Suci,Tiada Noktahnya "


Kalau iklan raya mampu buat aku bergenang air mata, iklan itu layak disenaraikan. Iklan Raya TV3 tahun 2011 ini mengisahkan penyatuan semula keluarga yang terpisah dek kesempitan kewangan. Ringkas tapi babak memohon maaf pada ibu memang tangkap leleh bai! Lagu “Perpisahan” oleh Anuar Zain dijadikan lagu latar pada iklan ini dan telah berjaya memberi mood melankolik itu.

5) Iklan Raya PNB - Baju Melayu Oren


“Suatu yang baik, janganlah diabaikan” adalah mesej yang cuba dibawa di dalam iklan lucu ini. Apabila melihat kembali sikap pembaziran yang sering kali diamalkan apabila tiba waktu raya, iklan ini berjaya membawa mesej agar bersederhana. Babak akhir yang sang suami jadi “Incredible Hulk” memang best. 

P/S: Masih menanti iklan raya terbaik tahun ini





Friday, 19 July 2013

Main kuda balik Raya

Ini pengalaman aku balik raya masa aku masih student ITM dulu. Biasalah, kalau student, lifestyle pun agak haprak, barang-barang berterabur, duit tak menentu dan belajar belakang kira. Kehidupan yang random sepanjang masa. 

Aku share bilik aku dengan lagi 3 orang, rumah aku ada dua bilik dan satu bilik untuk dua orang. Yang share bilik dengan aku, budak Sabah, jarang ada bilik, selalu lepak dengan budak-budak Sabah kat tempat lain. Bilik sebelah ada dua budak Kelantan, jarang jugak lepak bilik, lepak dengan member diaorang yang senegeri jugak. 

Hari Jumaat, aku dah beli tiket bas nak balik kampung minggu lepas. Lepas kelas habis pukul 3, aku pun balik packing barang kat bilik. Lebih kurang setengah jam packing, aku letih lepas tu tertidur terus.

Buka mata, kat luar dah gelap dah. Dah lepas waktu berbuka dah pun. Bas aku pukul 10.30, sekarang pukul 8.15. Sempat lagi. Aku masuk dapur, cari air, tekak dah perit. Nampak botol coke 1.5 Liter dalam fridge, cantik! 


Aku pun tuang penuh gelas, terus minum dengan pantas. Uiks, rasa pelik sikit. Rasa mint. Ahh, pedulikan, aku kena cargas.

Aku pergi naik bas dari Shah Alam ke Pudu. 18 minit tunggu, bas sampai aku pun naik. Duduk ajer kat atas seat, aku terus rasa mengantuk yang amat sangat. Kepala rasa pening. Okay, air tadi mesti bukan coke aje. Aku pun fikir lagi. Cis, mesti geng budak Kelantan tu punya stok ubat batuk diaorang dah masukkan dalam botol Coke.  Jilaka!

Aku tak tahan, mata pun letih nak terbukak. Kepala aku dah masuk waktu Maghrib, akal nak tergelincir dah. Aku pun lelapkan mata.“Bang, dah sampai”. Abang drebar bas sound aku. 

Tinggal aku sorang je dalam bas. Dah pukul 10. Cantik, sempat aku makan lagi. Aku bangun nak berjalan keluar. Pening, kepala masih berat, lutut rasa nak give in, nak give up. Tapi aku perlu teruskan. Kalau aku tidur kat Pudu, mungkin ada orang akan potong kemaluan aku dan jual aku kat Bangkok. Aku tak nak hidup aku berkesudahan begitu. 

Takper, aku makan dulu. Aku nak ambik wallet, eh dah takde. Alamak. Mana perginya wallet aku. Aku check dalam beg, takde jugak. Aiseh, hilang wallet lah pulak di saat-saat kritikal macam ni.

Dalam poket jeans aku ada siling, ada dua ringgit aku kira. Alamak, tiket bas pun dalam wallet aku. Habis, habis! Raya lagi 2 hari, aku ada kat Pudu tanpa tiket, tanpa duit. Semua orang pun tengah sibuk nak balik raya dan ramai yang dah balik dah pun. Zaman tu takde handphone la. Kepala masih berdenyut dan pemandangan pun blur. 


Dazed and Confused in Pudu

Tengah aku jalan pusing pusing kat seberang Pudu, ternampak aku kedai kuda.  Sekurang-kurangnya, aku boleh relaks fikir dalam aircond sambil hisap rokok. 


Tengah kepala pening, aku tengok diorang main mesin kuda.  Aku pun pernah terjebak jugak dulu tapi kejap je pasal aku memang tak terror berjudi. Lagipun judi tu haram. 

Aku masukkan syiling 20 sen, cuba nasib. Letak kat kuda 1-3. Lagu classic racing kuda pun keluar. Jeng jeng jeng, dapat 60 sen.  Aku pun masukkan 60 sen, cuba kuda 1-3 lagi sekali. Dapat RM 1.80. Wow. Wang aku berganda secara kuantum!


Manusia memang tamak. Aku pecahkan duit syiling aku semua ke syiling 50 sen, supaya aku boleh main betting lagi besar.  Mesin lain, crowd lain. We are with the big boys now.

Tiba-tiba aku teringat kata kata Chuck Palahniuk “ The only way to find true happiness is to risk being completely cut open” Mungkin tak relevan dengan kejadian yang aku sedang lalui pun sebenarnya tapi tu pun dah cukup untuk buat aku rasa hero. Dengan kepeningan yang tegar, aku masukkan semua duit aku dan bet untuk dapat 60 kali pulangan. This is it. 

Aku terbayang balik raya dengan adik beradik. Aku terbayang lemang dan mercun dan awek cun kat tepi kampung perasan bagus.  Aku mesti balik.Ting ting ting ting ting ting! Bunyi syiling jatuh kejutkan aku. Aku menang! Victory! Aku dapat 60 syiling 50 sen jadi aku dah ada 30 ringgit. Dengan pantas aku tukar duit kertas kat tauke kedai mesin kuda.  Aku pergi ke Pudu dan cari tiket ke kampung. Stok tiket dah habis tapi mamat runner yang aku jumpa cakap dia boleh kautimkan. 

Aku beli tiket 22 ringgit, 3 ringgit aku belanja makan nasi lemak bungkus dengan ais kosong dan 50 sen aku bagi kat pakcik tua India takde kaki mintak sedekah tepi jalan.

Sampai rumah kol 4 pagi. Aku happy. Dengan izin Allah, dapat juga aku beraya di kampung tahun ni. Syukur.


GULA DAN BULAN PUASA




Bulan Ramadhan elok sangatlah kalau kita kupas pasal pengambilan gula supaya takdelah perut sebesar tong dram bila nak raya nanti. Sedap memang la sedap ambil makanan yang berkandungan gula tinggi ni, tapi akibat pada kesihatan akan datang? Tau kan apa maksud DIABETES? Potong kaki derrrr. 

Apa itu GULA?

Gula adalah sejenis bahan yang memberi rasa manis pada makanan. la wujud secara semulajadi dalam makanan atau sebagai bahan yang ditambah semasa penyediaan makanan dan minuman. Gula yang paling biasa ialah gula pasir atau yang dihasilkan dari pemprosesan tebu. Gula ini seringkali digunakan untuk memaniskan pelbagai minuman ringan seperti kordial, sirap, minuman berkarbonat dan jus buah-buahan. Gula juga ditambah sebagai pemanis ke dalam biskut, jem, kek, cokelat, aiskrim dan beberapa bijirin sarapan. Pengambilan makanan atau minuman yang mengandungi gula tambahan secara berlebihan boleh menyebabkan masalah kesihatan.

Jenis-jenis gula

1- Gula semulajadi

Gula yang terdapat secara semulajadi dalam makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran berkanji, susu dan hasil tenusu.

2- Gula tersembunyi

Gula yang ditambah pada makanan semasa pemprosesan dan penyediaan makanan seperti dalam masakan, minuman, kuih-muih dan sebagainya.

Kesan Gula Terhadap Kesihatan

Meningkatkan risiko berlebihan berat badan dan obesiti seterusnya mendorong kepada masalah diabetes dan penyakit jantung.  
Mengakibatkan gangguan gastrousus.    
Menggalakkan pembentukan karies gigi.
Mengakibatkan kekurangan nutrien kerana kecenderungan individu yang mengambil berlebihan gula menggantikan makanan lain yang lebih berkhasiat.

Mohon selidik dulu jadual gula ni dulu. Jangan main hentam makan je. Itu ‘mentedarah’ namanya.

Kuih


Air

Air lagi banyak bikin panas letak gula. HAHA.


Jadi, rancang pemakanan anda. Aku ni bukan la Kevin Zahri, aku pemerhati. Yeaah!



Monday, 15 July 2013

5 Iklan Raya Terbaik Abad Ini (Part 1)

Salah satu benda yang aku selalu nantikan bila tiba musim puasa adalah iklan Raya. Iklan Raya selalunya akan dibikin dengan sangat berkualiti oleh syarikat-syarikat besar. Mesej dan penceritaan yang dibawa dalam iklan raya mampu mengimbau kenangan silam kita semua. Kadang-kadang rasa sangat terharu dengan mesej kekeluargaan yang dibawa. Boleh tangkap sayu! Aku rasa semua orang rasa benda yang sama tentang iklan raya. Oleh itu aku senaraikan di sini iklan-iklan raya terbaik sepanjang zaman mengikut pendapat aku. Memandangkan terdapat banyak iklan yang layak disenaraikan, aku buat Part 1 dulu.

1) Iklan Petronas Raya : Burung Murai


Simbolik Burung Murai ini memberi kesan mendalam kepada semua. Hanya dengan bermotifkan burung tersebut, penonton dibuai rasa sayu tentang kasih sayang seorang bapa. Memang sangat terkesan di hati dan sanubari ini.

2) Iklan Raya Petronas - Kisah Anak Balik Kampung Cari Internet


Iklan ini juga sangat berkesan membawa aspek hidup metropolitan di kampung. Pengajarannya apabila kita pulang ke kampung di hari raya, tinggalkanlah sebentar peranti-peranti pintar dan luangkan masa berkualiti bersama keluarga.

3) Iklan Raya TV3 2007 - Adibah Noor


Lari dari mesej kebiasaan yang dibawa di dalam iklan raya, Adibah Noor berjaya membawa watak seorang yang skeptik dan sentiasa bersangka buruk kepada semua. Lucu sekali jalan penceritaannya dan antara iklan yang berkualiti pernah dihasilkan TV3.

4) Iklan Raya Petronas 2006


Ini antara iklan raya melankolik yang pernah aku tonton. Kisah bagaimana menjaga seorang bapa yang sakit di rumah. Melayan bapa seperti orang asing di rumah dan akhirnya diberi petunjuk oleh anak-anak mereka sendiri.

5) Iklan Hari Raya Petronas Surat Untuk Ayah


Banyak sekali iklan yang cuba menengahkan kasih sayang seorang bapa. Iklan ini tidak terkecuali juga. Comel sekali pengarapan iklan ini yang mana seorang anak membuat tuntutan kos kepada bapa beliau. Boleh menangis tengok iklan ini.

P/S: Tak sabar menanti iklan raya tahun ini