Aku selalu teringatkan mak aku bila sampai bulan puasa. Aku akan nantikan masanya untuk berbuka puasa dengan mak aku. Mak aku suka masak dan di bulan puasa, dia akan buat juadah-juadah kegemaran kami sekeluarga. Jadi kalau sampai bulan puasa, aku akan rindu mak aku. Tapi tidak mengapa sebab bazaar Ramadan bersepah kat Kuala Lumpur ni. Kalau pergi bazaar Ramadhan memang akan rambang mata nak pilih. Kalau tidak ada kawalan nafsu yang tinggi, rabak poket kau. Tapi bila aku ke bazaar, ada beberapa juadah yang sentiasa berlegar dalam radar aku:-
1- Tepung Pelita
Kuih Tepung Pelita memang kegemaran semua orang. Aku jarang dapat jumpa orang yang tak suka kuih ini. Gabungan manis dan lemak santan cukup magis dan mampu mengembalikan tenaga setelah seharian berpuasa. Sekarang sudah ramai yang pandai membuat kuih ini dan mudah didapati di merata tempat.
2- Puding Telur
Mak aku pandai buat pudding telur. Puding telur dia kiranya macam “comfort food” aku sepanjang alam kanak-kanak. Oleh itu sampai ke tua ini, aku masih
cari lagi puding telur ini. Juadah ini sangat popular dan mudah didapati di mana-mana bazaar Ramadan. Namun sukar nak cari yang sama dengan resipi mak
aku. Tiada yang istimewa, mungkin kasih sayang mak yang buatnya lain daripada yang lain.
3- Murtabak
Berbuka puasa tidak akan sempurna tanpa murtabak. Murtabak sudah jadi sinonim dengan bazaar Ramadan di mana-mana sahaja. Murtabak yang sempurna harus punya kesimbangan dari segi tekstur dan juga isi. Murtabak yang terbaik selalunya yang dijual di Restoran Mamak, tetapi yang dijual di Bazaar Ramadhan pun boleh tahan juga.
4- Cucur Udang
Cucur udang bukanlah kegemaran aku tetapi kegemaran bapak aku. Aku sudah terpengaruh sejak kebelakangan ini. Bapak aku mesti berbuka dengan cucur udang dan saban hari dia akan beli cucur udang sebagai juadah berbukanya. Pernah sekali adik aku terlupa untuk membeli cucur udang untuk bapak aku. Merajuk jugaklah dia. Cucur Udang yang sempurna mengikut bapak aku adalah di dalam kerangupan dan juga kepekatan kuah kacangnya.
5- Roti Boom
Aku tidak pasti kenapa menjelang bulan puasa, nafsu aku pada Roti Boom membuak-buak. Serius. Kalau bukan di bulan puasa aku tidak lalu melihat Roti Boom. Roti Boom yang ranggup dan berlemak dicicah pula dengan kuah Dhal mampu menenangkan seluruh sanubari aku. Jadi pada aku, Roti Boom memang juadah wajib buat aku di bulan Ramadan.
P/s: Selamat Berbuka Puasa Semua!:)
0 comments:
Post a Comment